Iklan

Umno mahu PRU15 diadakan sekarang, kata Zahid

Noel Achariam2 years ago27th Aug 2022Berita
Img 0077
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata terdapat keperluan untuk mengembalikan mandat kepada rakyat. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 27 Ogos, 2022.
Iklan

UMNO mengulangi desakan supaya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) perlu diadakan sekarang kerana rakyat mahukan kerajaan yang sah yang tidak disatukan melalui skim politik, kata Ahmad Zahid Hamidi.

Presiden Umno itu berkata terdapat keperluan untuk mengembalikan mandat kepada rakyat.

“Barisan Nasional perlu segera mendapat mandat rakyat untuk memastikan kestabilan.

“Pendirian kami konsisten sejak awal. Jadi jangan sampai ada suara dalam kalangan kita yang mula menuduh kami bodoh kerana mahukan pilihan raya.

“Kami konsisten dalam perkara ini. Ini bukan keputusan Zahid Hamidi atau Tok Mat (Timbalan Presiden Umno Mohamed) Hassan,” katanya pada taklimat khas Umno di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di Kuala Lumpur.

Beliau berkata ini adalah suara dan keputusan yang dibuat secara kolektif Majlis Tertinggi Umno, perhimpunan agung Umno dan perhimpunan agung khas.

“Hakikat sebenar adalah senario politik yang tidak stabil meletakkan ekonomi negara merosot.

“Kestabilan dan kebaikan yang dilaungkan adalah seperti kisah dongeng semata-mata. Hakikatnya, politik yang stabil tidak akan bergantung kepada beberapa helaian kertas perjanjian (memorandum persefahaman) sahaja.”

Zahid berkata, demi semangat juang perdana menteri Najib Razak yang dipenjarakan mereka perlu meneruskan perjuangan ini pada PRU15.

“Memastikan kejayaan perjuangan parti adalah pembelaan kita untuknya.

“Kita perlu segera mendapatkan semula mandat baharu dan mutlak daripada rakyat melalui PRU15.

“Ini untuk memulihkan kerajaan yang stabil, kerana hanya dengan kestabilan, kita dapat memastikan kemakmuran dan kesejahteraan negara untuk rakyat.”

Katanya, parti itu sudah pun membuat keputusan untuk mengadakan PRU15 sekarang dan sebarang pelanggaran hanya akan meletakkan parti itu di ambang perpecahan dan kehancuran.

“Setiap daripada kita perlu kembali kepada Umno. Kita mesti mempunyai matlamat yang sama.

“Keputusan parti adalah keputusan bersama, yang mesti kita patuhi, kerana ini adalah keputusan semua.

“Jangan curiga antara satu sama lain. Jangan wujudkan parti dalam parti.”

Zahid menyeru semua ahli supaya bersatu untuk mencapai keazaman dan matlamat mereka.

“Kita perlu mencatat sejarah, kita antara yang bangkit daripada kejatuhan serta memulihkan maruah parti yang tercemar.” – 27 Ogos, 2022.

Iklan
Iklan