Taklimat Khas Umno amaran kepada Ismail Sabri, kata penganalisis
Iklan
TAKLIMAT Khas Umno pentas untuk Ahmad Zahid Hamidi menunjukkan kuasa presiden kepada naib presiden Umno yang juga Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, kata pemerhati politik.
Ahmad Zahid cuba memberitahu Ismail Sabri majoriti ahli Umno menyokongnya terutama dalam tuntutan mengadakan pilihan raya awal.
Menyifatkan pertemuan itu sebagai jalan terakhir namun penganalisis menjangkakan Ismail Sabri tidak akan mudah tunduk dengan desakan membubarkan Parlimen serta merta itu.
Dalam pertemuan itu semalam Ahmad Zahid melaungkan PRU15 perlu segera diadakan kerana rakyat mahukan kerajaan sah bukan yang dibentuk melalui helah politik.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata mandat perlu dikembalikan kepada rakyat.
Pemerhati politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Mazlan Ali berkata ia adalah pertemuan luar biasa dan ramai pemimpin Umno yang terpalit tuduhan rasuah bimbang menerima nasib sama seperti bekas perdana menteri Najib Razak.
Katanya Ahmad Zahid cuba memberitahu Ismail Sabri yang beliau perlu mengikut keputusan parti meskipun berkuasa sebagai perdana menteri.
“Dengan Najib di penjara, yang lain pasti bimbang akan terima nasib sama seperti dia. Jadi mereka perlu bertindak cepat dan adakah PRU.
“Mereka melihat Ismail Sabri tidak akan mempertahankan mereka sebab itu Ahmad Zahid nak tunjuk pada Ismail Sabri yang dia ada sokongan pemimpin and akar umbi Umno,” katanya.
Namun ahli akademik itu percaya Ismail Sabri akan tetap teguh dan pemimpin itu telah menyatakan PRU akan diadakan tidak lama lagi selepas tarikh pembentangan Bajet 2023 dipercepatkan.
“Beliau tidak akan mengalah dengan tekanan dan akan lawan. Bukan semua pemimpin Umno hadir pertemuan itu jadi beliau masih ada sokongan daripada pemimpin Umno tertentu.
“Umno tak boleh pecat Ismail Sabri pun jika beliau menolak untuk bubarkan Parlimen sebab ia hanya akan merugikan parti Melayu itu,” katanya.
Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisomuddin Bakar bersetuju dengan Mazlan dan berkata walaupun ditekan Ismail Sabri tidak kisah.
“Tekanan terhadap Ismail Sabri itu berlaku lima hari berturut-turut dengan dua pertemuan luar biasa tapi Ismail Sabri berjaya tangani dengan baik.
“Pada saya pertemuan itu hanya nak tunjuk pada Ismail Sabri yang Ahmad Zahid masih ada pengaruh,” katanya.
Hisommuddin mempertikaikan tuntutan Umno agar diadakan PRU sedangkan parti bersetuju menyerahkan keputusan tarikh PRU kepada lima pimpinan tertinggi mereka.
“Kenapa Umno guna platform ini untuk menekan Ismail Sabri selepas mereka bersetuju keputusan berkaitan PRU15 ini akan dikendalikan pimpinan tertinggi? Presiden, timbalan dan tiga naibnya,” tanyanya.
Pada awal Ogos, Pengerusi BN Selangor Noh Omar berkata Ismail Sabri akan dibantu pimpinan tertinggi Umno untuk membuat keputusan tepat berkait tarikh PRU15.
Katanya sama ada PRU15 diadakan cepat atau lewat apa yang penting memastikan kemenangan gabungan itu di peringkat pusat dan negeri.
Ada yang nak cepat ada yang nak lambat. Kita doa pada Tuhan agar perdana menteri diberi kekuatan untuk mencari masa yang tepat membubarkan Parlimen,” katanya. – 29 Ogos, 2022.
Berita penuh di sini.