Iklan

Tak adil Dr Mahathir kritik Ismail Sabri, kata penganalisis

Alfian Z.M. Tahir2 years ago30th Aug 2022Berita
51395760052 d70361c1c9 o
Kritikan Dr Mahathir Mohamad terhadap Ismail Sabri Yaakob dilihat pemerhati sebagai tidak adil dan tidak kena pada tempatnya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Ogos, 2022.
Iklan

DR MAHATHIR Mohamad tidak sepatutnya membandingkan pengalamannya dengan penggal pertama Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob sebagai penunjuk untuk mengukur kejayaan seseorang, kata pemerhati politik.

Mereka berkata kritikan bekas perdana menteri dua kali itu terhadap Ismail Sabri adalah tidak adil dan tidak kena pada tempatnya.

Ismail Sabri baru setahun memegang jawatan, malah ketika itu terpaksa berdepan dengan beberapa isu besar seperti ketidakstabilan politik, pandemik Covid-19 dan inflasi.

Minggu lepas, ahli Parlimen Langkawi itu berkata Ismail Sabri, yang merupakan ahli Parlimen Bera, tidak berpengalaman dan tidak tahu urus negara.

“Ismail tidak ada pengalaman dan tidak ada idea.

“Jika awak PM, awak perlu ada akal selesaikan masalah, dan kita ada banyak masalah sekarang; ekonomi, politik, isu sosial dan hal ehwal asing,” kata Dr Mahathir.

Beliau juga berkata Ismail Sabri pernah berjumpa dengannya sebelum dilantik sebagai perdana menteri, tetapi tidak bertemu lagi sejak itu.

Ismail Sabri menjadi perdana menteri kesembilan negara menggantikan Muhyiddin Yassin daripada Bersatu pada Ogos 2021 selepas ahli Parlimen Pagoh itu hilang sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

Beliau adalah naib presiden Umno pertama yang diangkat sebagai perdana menteri memandangkan presiden parti Ahmad Zahid Hamidi tidak dapat dipilih kerana banyak kes mahkamah.

Pemerhati bebas, Mohd Sayuti Omar berkata Ismail Sabri mampu membawa kestabilan politik apabila negara perlukan.

Tambahnya, tidak adil bagi pengerusi Pejuang itu membandingkan tahun pertama Ismail Sabri dengan tempoh lamanya sebagai perdana menteri.

“Ia sangat tidak adil terhadap Ismail Sabri. Ini tahun pertamanya dan perbandingannya tidak sesuai.

“Sekurang-kurangnya pada tahun pertamanya, beliau berjaya menurunkan suhu politik dan menjamin kestabilan di peringkat kebangsaan.

“Pakatan Harapan juga dapat manfaat daripada jawatan perdana menteri. Undang-undang antilompat parti dan Undi18 diluluskan pada zamannya. Adakah anda fikir Dr Mahathir akan benarkan tindakan seperti itu berlaku waktu beliau jadi perdana menteri Umno?” kata Sayuti.

Sebagai ahli politik veteran Dr Mahathir Mohamad boleh mengkritik Ismail Sabri yang baru setahun menjadi perdana menteri, tetapi perlulah beri kritikan yang membina, kata penganalisis. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Ogos, 2022.

Tambah Sayuti, Ismail Sabri merupakan perdana menteri kedua selepas Abdul Razak Hussein yang mampu membawa pembangkang ke meja rundingan.

“Dengan MoU (Memorandum Persefahaman) bersama Pakatan Harapan, beliau bawa keharmonian sekurang-kurangnya ketika negara sedang memerangi pandemik Covid-19. Dr Mahathir tidak boleh berunding dengan pembangkang seperti mana Ismail,” katanya.

Berdepan tekanan

Dr Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam pada itu berkata Ismail Sabri bijak dalam menangani isu sensitif, menambah beliau tidak terkejut dengan komen negatif Dr Mahathir itu.

“Ia subjektif apabila kita bercakap tentang siapa boleh urus dan siapa tidak boleh urus. Ismail Sabri bijak dalam beberapa segi, ketika mula-mula menjadi perdana menteri, beliau tahu beliau perlukan sokongan pembangkang.

“Beliau janjikan beberapa pembaharuan dan tidak mungkir janji. Rekod prestasinya juga baik. Beliau tidak terlibat dalam kes mahkamah walaupun pemimpin partinya sedang didakwa.

“Beliau bertindak balas terhadap sesuatu isu hanya apabila diperlukan dan tidak berusaha keras untuk tunjuk dirinya nampak baik,” kata ahli akademik itu.

Hisomuddin Bakar dari Ilham Center turut membawa pandangan serupa dengan Sayuti dan Mazlan.

Tambahnya Ismail Sabri telah diasak bertubi-tubi oleh partinya sendiri untuk mengadakan pilihan raya awal tetapi tetap tidak goyah.

“Ini menunjukkan beliau boleh tangani tekanan. Beliau mampu tangani isu-isu nasional dan pada masa sama berjaya meredakan hal dalaman parti.

“Walaupun tidak semua perkara yang dilakukannya sempurna, dalam satu tahun ini, beliau buat apa yang beliau mampu,” katanya.

Tambah Hisomuddin, sebagai ahli politik veteran, Dr Mahathir boleh sekurang-kurangnya memberikan penilaian kritikal terhadap Ismail Sabri.

“Beliau boleh kritik tetapi kritikan itu mestilah kritikan yang membina.” – 30 Ogos, 2022.

Iklan
Iklan