Iklan

Keluarga mangsa kehilangan paksa masih tunggu jawapan, kata aktivis

Noel Achariam2 years ago30th Aug 2022Berita
Missing 4 raymond koh
Sehingga hari ini masih tiada jawapan mengenai apa yang sebenarnya berlaku ke atas Pastor Raymond Koh, aktivis Perlis Amri Che Mat serta Pastor Joshua Hilmy dan isterinya Ruth Sitepu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Ogos, 2022.
Iklan

KELUARGA mangsa kehilangan paksa masih menuntut jawapan daripada kerajaan mengenai apa yang sebenarnya berlaku kepada mereka, kata aktivis.

Kumpulan Tindakan Masyarakat Mengenai Penghilangan Paksaan (Caged) memberitahu The Malaysian Insight, kerajaan juga perlu mendedahkan kepada umum laporan mengenai kehilangan mangsa.

Sempena Hari Antarabangsa Mangsa Kehilangan Paksa pada hari ini, Caged merancang untuk menyiarkan lapan video pendek mengenai empat individu di negara ini yang hilang secara misteri.

Mereka adalah Pastor Raymond Koh, aktivis Perlis Amri Che Mat serta Pastor Joshua Hilmy dan isterinya Ruth Sitepu.

Video pertama bertajuk “Shut your bloody mouth”, berkenaan gesaan bekas ketua polis negara (KPN) Khalid Abu Bakar agar orang ramai berhenti membuat spekulasi mengenai kehilangan Koh, akan disiarkan Sabtu ini, kata jurucakap Caged Rama Ramanathan.

Video sepanjang 2.19 minit itu akan memaparkan kronologi ringkas kes kehilangan Koh, Amri, Joshua dan Ruth.

Rama memberitahu The Malaysian Insight, lapan video berkenaan dihasilkan bagi menunjukkan apa yang sebenarnya berlaku dalam kes kehilangan empat individu berkenaan.

“Tujuan kami ialah untuk mengingatkan pihak berkuasa bahawa keluarga empat mangsa ini mahu tahu apa jadi kepada mereka.

“Menerusi video pertama kami ingin tunjukkan bagaimana bekas KPN meminta orang ramai supaya jangan persoalkan apa-apa,” katanya.

Jurucakap CAGED Rama Ramanathan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Ogos, 2022.

Pada 20 Mac 2017, Khalid dilapor mengingatkan supaya kes kehilangan Koh tidak diberi publisiti meluas.

“Bila perkara ini banyak diperbualkan dan menimbulkan spekulasi dalam media, ia telah membahayakan mangsa.

“(Dan) saya amat risau, sebab sekarang siasatan kita buntu kerana kita tiada maklumat lanjut mengenai kehilangan pastor ini dan saya percaya ini adalah akibat terlampau banyak publisiti diberi kepada kehilangan pastor ini,” katanya pada sidang media.

Mengulas lanjut mengenai siri video kehilangan paksa Koh, Amri, Joshua dan Ruth, Rama berkata video seterusnya akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

Katanya, video berkenaan akan memaparkan ulasan pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) Mah Weng Kwai dan Hishamudin Yunus semasa inkuiri awam, serta apa yang dikatakan oleh peguam, ahli keluarga serta aktivis berkait empat individu yang hilang itu.

Menurut Rama, kehilangan mereka adalah “kertas pertuduhan” terhadap kerajaan atas jenayah penculikan yang serius.

“Ini adalah jenayah di bawah Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman mati.

“Menteri dalam negeri, menteri undang-undang dan KPN harus komited untuk menyahklasifikasi laporan pasukan petugas khas yang ditubuhkan bagi meneliti kes kehilangan Koh dan Amri.

“Mereka juga mesti mencari, mendakwa dan menghukum pelaku jenayah berat ini tanpa gentar atau memihak,” ujarnya.

Keluarga Pastor Raymod Koh dan aktivis Perlis Amri Che Mat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Ogos, 2022.

Dedah kepada umum laporan pasukan petugas khas

Rama seterusnya berkata selepas berjaya mengisi satu daripada 18 kerusi Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi penggal 2022-2024 pada Oktober tahun lepas, banyak yang perlu dilakukan bagi kes kehilangan paksa di negara ini.

“Kita mengharapkan Malaysia akan jadi penanda aras dalam isu hak asasi manusia. Bagaimanapun tiada tindak balas kerajaan terhadap kehilangan Koh dan Amri.

“Ini selepas siasatan menyeluruh dijalankan mengikut piawaian antarabangsa dan Malaysia sendiri, yang kemudian diklasifikasikan sebagai kehilangan paksssa.

“Menteri luar negeri juga dalam negeri, menteri undang-undang dan perdana menteri sehingga kini masih membisu,” kata Rama.

Tambahnya, pihak berkuasa dan kerajaan perlu diingatkan bahawa Suhakam telah merumuskan pasukan polis terlibat secara langsung dalam kehilangan Pastor Koh dan Amri.

Koh, 64, diculik sekumpulan lelaki bertopeng semasa memandu di Kelana Jaya Selangor pada 13 Februari 2017; manakala Amri, 44, hilang sejak 24 November 2016.

Joshua dan isterinya Ruth pula dilaporkan hilang sejak November 2016. Kehilangan pasangan itu dilaporkan oleh rakan mereka Peter Pormannan, yang dikenali sejak 2012. – 30 Ogos, 2022.     

Berita penuh di sini.

Iklan
Iklan