Ahmad Maslan persenda pusingan U pendakwaan
Iklan
SETIAUSAHA Agung Umno Ahmad Maslan mempersendakan penarikan surat pihak pendakwaan kepada Hakim Mahkamah Tinggi Colin Lawrence Sequrah yang meminta beliau mengutamakan perbicaraan rasuah Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad merujuk kepada surat Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob meminta hakim mengutamakan kes Zahid, tetapi kemudiannya ditarik balik.
Ahli Parlimen Pontian itu, yang memetik pepatah Melayu, berkata “terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.
2 surat dari Jabatan Peguam Negara -
Terlajak perahu boleh diundur,
Terlajak kata buruk padahnya.
(Peribahasa Melayu lama)
Terlajak surat, viral semalaman,
Terlajak keluar, awal penghakiman,
Menjadi dentuman bukti, ke serata pelosok alam.
(Peribahasa terkini kini) pic.twitter.com/71P1jHTXcR— Ahmad b Maslan (@ahmadmaslan) August 30, 2022
Zahid berdepan 12 pertuduhan pecah amanah membabitkan RM31 juta, lapan pertuduhan rasuah membabitkan RM21.25 juta, dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM65 juta.
Wang itu milik Yayasan Akalbudi, sebuah yayasan kebajikan yang diketuai oleh bekas timbalan perdana menteri itu.
Jika sabit kesalahan, Zahid boleh dipenjara sehingga 20 tahun.
Perbicaraan beliau sedang berjalan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Dalam satu lagi pantun, Ahmad turut menyelar badan kehakiman berhubung dakwaan kebocoran penghakiman perbicaraan rasuah Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor.
Dakwaan salinan penghakiman itu, yang menyatakan keputusan bersalah terhadap Rosmah diterbitkan oleh laman web Malaysia Today yang dikendalikan oleh penulis blog Raja Petra Kamarudin.
Minggu lalu, terdapat satu lagi kebocoran keputusan Mahkamah Persekutuan berkaitan rayuan kes SRC International Najib menjelang keputusan mahkamah tertinggi pada Rabu.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dijangka memberi keputusannya mengenai perbicaraan rasuah Rosmah pada Khamis. – 30 Ogos, 2022.