Iklan

Belia 18 tahun tak pasti mengundi atau tidak PRU15

Angie Tan2 years ago31st Aug 2022Berita
Spr election
Menurut Bersih jumlah pengundi berdaftar kini 21.1 juta berbanding 14.9 juta pada PRU14. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Ogos, 2022.
Iklan

TIDAK pernah ambil tahu perkembangan politik dalam negara serta tidak tahu calon atau parti mana yang harus dipilih, menyebabkan ramai belia 18 tahun tidak pasti sama ada mereka mahu mengundi atau sebaliknya pada pilihan raya umum akan datang.

Namun, ada juga dalam kalangan yang ditemu bual The Malaysian Insight berkata mereka akan keluar mengundi, malah sudah menetapkan siapa calon pilihan mereka berdasarkan maklumat yang diperolehi dalam talian.

Chen Jia Hui, 18, dari Kedah berkata dia tidak akan mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Saya baru sahaja tamat SPM (Sijil Pelajaran Malaysia), tak tahu banyak tentang apa yang berlaku dalam negara.

“Nak pilih bidang pengajian selepas SPM pun susah, inikan pula hendak buat keputusan mahu undi parti mana?

“Kalau hendak mengundi nanti saya akan tanya pendapat emak saya dulu,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Seperti juga Chen, anak muda Leow Pin Wuen, 18, berkata dia tidak pernah mengambil tahu tentang isu politik di negara ini.

“Saya tahu apabila berumur 18 tahun secara automatik saya didaftarkan sebagai pengundi, cikgu pun ada beritahu.

“Tapi kalau PRU15 diadakan tidak lama lagi, saya tak tahu nak undi siapa,” ujarnya.

Oleh kerana tidak mengikuti perkembangan politik negara,ramai pengundi muda tidak pasti sama ada hendak mengundi atau tidak pada pilihan raya umum akan datang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Ogos, 2022.

Bagaimanapun, bagi Jonathan Su Chuen Xian dari Sabah, remaja itu berkata tidak semua belia kurang pengetahuan tentang politik dan pilihan raya.

“Kita boleh dapat banyak maklumat mengenai pemimpin politik dalam talian,” katanya.

Su yang berusia 18 tahun itu berkata pada PRU15 nanti dia akan memilih calon berdasarkan parti.

Senada dengan Su, seorang lagi remaja, Teh Rui En, berkata golongan muda sepertinya ambil tahu situasi politik ketika ini.

“Sebagai orang Cina saya beri perhatian kepada isu-isu semasa supaya saya dapat buat keputusan dengan tepat.

“Saya selalu ambil tahu isu politik dan apa yang berlaku di Parlimen. Ini supaya saya tahu siapa yang harus saya undi kelak,” ujarnya.

Dengan pelaksanaan Undi18 dan Pendaftaran Pengundi Secara Automatik (PPSA) pada 16 Januari 2022, sebanyak 5.8 juta pemilih telah ditambah kepada 15.3 juta sedia ada, menjadikan jumlah pengundi berdaftar kini 21.1 juta berbanding 14.9 juta pada PRU14.

Pengerusi Bersih Thomas Fann sebelum ini berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu memberi kesedaran kepada mereka yang layak membuang undi mengikut undang-undang baharu yang membenarkan golongan berumur 18 tahun dan ke atas mengundi.

Katanya langkah itu penting supaya golongan 18 tahun ke atas tahu mengenai proses pengundian menuju PRU15.

Kempen pendidikan awam juga harus merangkumi proses membuang undi dengan selamat pada hari pengundian, tambahnya. – 31 Ogos, 2022.     

Iklan
Iklan