Kes dera murid tadika masih berlaku walau ada kawalan, kata persatuan
Iklan
TIADA langkah mudah bagi menghalang guru prasekolah daripada melepaskan amarah terhadap anak didik mereka hingga boleh mengakibatkan kecederaan fizikal, kata pemain industri.
Bagaimanapun, kata mereka terdapat juga beberapa “cara pencegahan” untuk membantu guru ini “melepaskan” kemarahan yang dipendam.
Presiden Persatuan Kebangsaan Guru Tadika Malaysia, Sally Ng berkata walaupun setiap guru baharu wajib menjalani penilaian ketika memohon permit, namun kes penderaan murid prasekolah masih berlaku.
Ng memberitahu The Malaysian Insight, lebih 90% guru prasekolah adalah wanita dan ada antara mereka yang terbawa-bawa dengan tekanan di rumah ke tempat kerja.
Beliau berkata terdapat kes di mana guru yang mempunyai masalah dengan anak di rumah berasa tertekan, sehingga mengakibatkan ada antara mereka melepaskan kemarahan di dalam kelas.
Katanya, walaupun guru sentiasa diingatkan supaya tidak boleh memukul murid-murid dalam apa jua keadaan, namun mereka kadang-kadang tidak mampu mengawal diri terutamanya melibatkan kanak-kanak nakal.
Ng berkata apabila dalam keadaan marah, guru tidak dapat mengawal diri dan kemarahan mereka itu boleh mencederakan murid-murid.
Guru yang mencederakan kanak-kanak prasekolah kembali menjadi tajuk utama berita baru-baru ini dengan dua kes dilaporkan pada pertengahan Ogos.
Insiden ini menyebabkan ibu bapa bimbang dan marah serta mempersoalkan sama ada terdapat cara untuk mengelakkan guru mengamuk di dalam kelas.
Pada 12 Ogos lalu, seorang guru wanita dari Taiping, Perak, menggunakan akaun Facebook miliknya untuk menghantar permohonan maaf secara terbuka kepada ibu bapa dan keluarga murid-murid prasekolah serta tadikanya kerana mencederakan murid terbabit.
Guru tersebut mengaku memukul kanak-kanak perempuan itu, dua hari sebelumnya, di bahu dan belakang murid berkenaan hingga menyebabkan kesan lebam.
Guru itu berkata, beliau hilang sabar selepas murid prasekolah tersebut berulang kali gagal melakukan tugasan yang diberikan dengan betul.
Guru berkenaan diberhentikan dan berjanji tidak akan mengajar di mana-mana tadika lagi.
Dalam kes kedua pada 15 Ogos, seorang bekas guru memuat naik video ke akaun Facebook miliknya yang menunjukkan murid-murid prasekolah didera dan dipaksa makan cili di sebuah tadika di Kuala Lumpur.
Guru tersebut kemudiannya ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kejadian yang didakwa itu.
Ng berkata guru sentiasa dinasihatkan jika keadaan murid-murid menjadi tidak terkawal, adalah lebih baik mereka menghantar kanak-kanak itu kepada pengetua atau guru besar.
“Apabila seorang guru merasakan mereka akan marah, sebaiknya mereka keluar dari bilik darjah dan mencari seseorang untuk mengambil alih.”
Beliau berkata jika guru lain melihat rakan sekerja berkelakuan di luar pertimbangan ketika menguruskan anak didik, mereka wajar untuk membantu.
“Setiap guru mempunyai tanggungjawab untuk menghentikannya serta-merta bagi mengelakkan sebarang bahaya terhadap kanak-kanak itu.” – 1 September, 2022.