Iklan

Pemenjaraan Najib tidak bantu Pakatan, kata pemerhati

Angie Tan2 years ago2nd Sep 2022Berita
52308120813 3d4ccac8b0 o
Walaupun dipenjarakan, pengaruh Najib Razak di media sosial dilihat masih utuh, malah PH juga perlu bekerja keras mengatasi pengaruh itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 September, 2022.
Iklan

PEMENJARAAN Najib Razak tidak akan melemahkan pengaruh media sosial bekas perdana menteri itu mahupun Umno, kata pakar.

Liew Wui Chern, pensyarah di Jabatan Komunikasi Massa di Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) berkata Najib masih ada pasukan untuk mengekalkan kehadiran media sosialnya semasa beliau dipenjara.

“Dari segi peperangan media sosial, tidak ada kesan kepada Umno dan Barisan Nasional (BN),” kata Liew.

“Hanya kerana Najib dalam penjara tidak bermakna mereka kurang bernasib baik. Malah, beliau boleh gunakan ini untuk meraih undi simpati dan memberi gambaran buruk kepada Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya umum akan datang.”

Katanya PH juga mungkin tidak ada strategi untuk atasi simpati yang ditunjukkan pengundi terhadap Najib.

Tambah Liew sabitan Najib mungkin beri kesan berbeza di beberapa kawasan pilihan raya.

“Di kawasan luar bandar, PH tidak ada jalan, tetapi di kawasan bandar, ia mungkin boleh dapatkan semula beberapa kerusi yang hilang.”

Minggu lepas, Mahkamah Persekutuan membatalkan rayuan Najib dan mengekalkan hukumannya dalam kes SRC International.

Mahkamah tertinggi memerintahkan ahli Parlimen Pekan itu memulakan hukuman penjara 12 tahunnya serta-merta.

Bekas perdana menteri itu juga perlu membayar denda RM210 juta dan jika gagal akan dikenakan tambahan lima tahun penjara.

Lau Zhe Wei, penolong profesor di Jabatan Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia juga bersetuju dengan Liew yang Najib akan kekal popular.

“Melalui akaun media sosial Najib, Umno boleh menarik lebih ramai penyokong dan undi,” kata Lau.

“Pemenjaraan Najib akan tarik undi simpati buat Umno.”

Awal bulan lepas, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menggesa partinya bersolidariti dengan Najib yang digelarnya sebagai “raja media sosial.”

Zahid berkata Najib telah banyak menyumbang kepada Umno dan BN.

“Beliau ialah raja media sosial dan berjaya membantu memulihkan Umno lebih cepat hingga mereka yang pernah menjauhi dan memperlekeh Umno sebelum ini dilihat bukan sahaja mahu mendekati malah mahu menguasai Umno pula sekarang.”

Sementara itu, pengurus penyelidikan Merdeka Center Tan Seng Keat berkata media sosial telah membantu memudahkan aliran maklumat dan membentuk naratif.

“Kebangkitan Internet dari 1998 hingga 1999 telah membantu membentuk setiap gelombang politik di Malaysia,” kata Tan.

“PH, apabila ia berkuasa, terpaksa menapis dirinya sendiri dan oleh itu tidak dapat berkomunikasi dengan baik.

“Ini memberi kelebihan kepada Najib dan Umno. Sebagai contoh, di Taiwan, apabila bekas presiden Ma Ying Jeo berkuasa, beliau tidak lagi boleh bercakap seperti yang beliau buat ketika jadi pembangkang.”

Sama ada pasukan media sosial Najib akan main peranan selepas beliau dipenjarakan, Tan berkata ia masih belum dapat dilihat.

“Ia mungkin terjejas, kerana kita tahu ia bukan Najib,” kata Tan.

“Jika ada, pemenjaraan Najib akan beri kesan kepada akar umbi Umno. Walaupun begitu, pengaruhnya mungkin merosot dari semasa ke semasa.

“Kita perlu tunggu dan lihat,” tambahnya. – 2 September, 2022.

Iklan
Iklan