Iklan

Persembahan secara langsung kembali seperti biasa, kata presiden Karyawan

Noel Achariam2 years ago4th Sep 2022Berita
Perform
Pemuzik dan artis yang terlibat dalam sektor hiburan secara langsung kini mampu menarik nafas lega selepas akhirnya dapat kembali ke pentas selepas dua tahun berikutan wabak Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 September, 2022.
Iklan

PEMUZIK dan artis yang terlibat dalam sektor hiburan secara langsung kini mampu menarik nafas lega selepas akhirnya dapat kembali ke pentas selepas dua tahun berikutan wabak Covid-19.

Presiden Karyawan Freddie Fernandez berkata keadaan semakin pulih kerana ahlinya kembali bekerja.

Sektor hiburan secara langsung adalah yang terakhir dibenarkan beroperasi apabila kerajaan akhirnya memberi lampu hijau pada Mei tahun ini.

“Kami berterima kasih kepada kerajaan dan pihak berkuasa yang bertanggungjawab membuat langkah itu (membenarkan hiburan secara langsung).

“Pemuzik dan artis sangat lega kerana dapat mencari rezeki sekali lagi,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Pada 15 Mei, kerajaan telah mengumumkan bahawa kelab malam dibenarkan beroperasi.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata tidak akan ada lagi sektor ekonomi yang dilarang mulai pertengahan Mei.

Kelab malam adalah satu-satunya premis yang kekal dalam senarai negatif Majlis Keselamatan Negara kerana semua sektor lain dibenarkan beroperasi sejak awal tahun ini.

Fernandez berkata syarikat pengurusan acara juga dibenarkan beroperasi sekarang, membolehkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk pemuzik dan artis .

“Kita dapat lihat acara seperti pertunjukan muzik, persembahan dan teater semuanya kembali semula. Jadi, semua orang sibuk dengan kerja masing-masing.

“Sudah tentu ia mengambil masa untuk menganjurkan acara dan persembahan hiburan secara langsung yang lain.

 “Kini kita boleh melihat beberapa konsert yang berjaya diadakan. Jadi, kehidupan kembali seperti biasa.

“Begitu juga dengan teater dan seni. Setahu saya, semuanya sudah kembali.”

Katanya, semuanya kembali normal dan mereka tidak mendapat sebarang aduan daripada penghibur.

“Setakat ini kami mendapat maklum balas positif daripada penghibur.”

Beliau juga menambah bahawa sebahagian daripada mereka mula pulih daripada masalah kewangan selepas tidak bekerja semasa wabak itu.

The Malaysian Insight melaporkan pada Mac bahawa kira-kira 3,000 pemuzik dan penghibur terjejas kerana mereka tidak dibenarkan membuat persembahan.

Apabila disertakan jurutera bunyi, artis, krew muzik dan DJ disertakan, angka itu boleh mencecah sehingga 5,000.

Menurut prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara bertarikh 23 Februari, Fasa 4 melarang sebarang “aktiviti hiburan” di pub atau kelab malam. – 4 September, 2022.

Iklan
Iklan