Iklan

Harga sayur boleh naik lagi pada musim hujan, kata pekebun

Angie Tan2 years ago5th Sep 2022Berita
Farming kebun bangsar 290622
Cuaca hujan melambatkan pertumbuhan sayur akibat kekurangan matahari. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 September, 2022.
Iklan

CUACA hujan sejak beberapa minggu lalu menyaksikan peningkatan harga sayur, kata pekebun.

Menurut mereka harga sesetengah sayur meningkat sehingga 10% namun ia hanya sementara.

Mereka juga mengingatkan harga itu masih boleh meningkat selagi musim hujan berterusan.

Timbalan Presiden Persatuan Pekebun Cina Cameron Highlands Cheng Nan Hong Cheng berkata hujan memberi impak kepada pertumbuhan sayur yang ditanam di luar seperti daun bawang, daun ketumbar dan kobis.

“Apabila hasil tuaian menurun tapi permintaan tinggi biasanya harga akan naik,” katanya.

Katanya lagi cuaca hujan tidak menguntungkan petani susulan kekurangan cahaya matahari yang melambatkan pertumbuhan sayur.

“Maksudnya penuaian akan tertunda dan harga makin naik.

“Kami tidak boleh kata sampai bila hujan akan berterusan tapi lagi lama cuaca begini maka lagi banyak pengguna perlu bayar untuk sayur, sehingga 30%,” katanya.

Setiausaha Persatuan Pekebun Sayur Cameron Highlands Chay Ee Mong berkata hujan yang berterusan akan memberi kesan kepada peningkatan harga sayur.

“Kacang dan labu antara yang sensitif terhadap cuaca. Jika cuaca makin baik maka tuaian kami akan kembali normal dan masalah bekalan itu hanya jangka masa pendek,” katanya.

Presiden Persatuan Pemborong Sayur Wong Keng Fatt berkata cuaca sekarang bukan menandakan permulaan monsun yang berlaku antara November hingga Januari.

“Hujan sekarang ini sporadik jadi bekalan tidak terjejas secara drastik. Harga hanya naik 10%. Contohnya cili hijau 1kg biasanya RM9 sekarang RM10, chow sum daripada RM3 jadi RM4 manakala kobis naik RM1.

“Pada November harga akan lagi tinggi antara 30% hingga 60% ,” katanya.

Namun katanya harga sekarang ini masih lagi tinggi berbanding tempoh sama tahun lalu.

Tambahnya harga turut mengalami turun naik ekoran kekurangan tenaga kerja yang menyebabkan pengeluaran lebih rendah. – 5 September, 2022.

Iklan
Iklan