Iklan

Twitter, TikTok tidak cukup tarik pengundi, kata penganalisis

Alfian Z.M. Tahir2 years ago5th Sep 2022Berita
Johor politic state election polling day 05
Malaysia mempunyai 1.44 juta pengundi berumur antara 18 dan 20 tahun dengan pengundi muda membentuk 6.9% daripada 21.03 juta dalam daftar pemilih 2021 yang diwartakan Suruhanjaya Pilihan Raya pada 17 Januari. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 September, 2022.
Iklan

PENGGUNAAN platform media sosial seperti Twitter atau TikTok bukanlah jaminan bagi mana-mana parti politik untuk mempengaruhi pengundi bagi menyokong mereka pada pilihan raya umum akan datang, kata penganalisis.

Mereka berkata terdapat bukti untuk menyokong dakwaan medium ini boleh menarik atau mempengaruhi pengundi.

Mereka berkata ahli politik sebaliknya harus berpegang kepada kaedah tradisional untuk mendekati pengundi.

Pengarah Program Iman Research Badrul Hisyam Ismail memberitahu The Malaysian Insight, ahli politik mungkin kecewa jika mereka percaya platform media sosial boleh membantu calon memenangi pilihan raya.

Beliau berkata, cara konvensional merupakan kaedah terbaik untuk menarik pengundi, sambil menambah rakyat Malaysia hanya akan mengundi jika “kehadiran mereka dirasai”.

Baru-baru ini, pengasas bersama dan pengarah pendidikan Undi18, Qyira Yusri memberitahu The Malaysian Insight, pilihan raya umum akan datang ialah pilihan raya TikTok.

Katanya, aplikasi itu merupakan platform media sosial paling pesat berkembang dengan video di platform itu cenderung menerima berjuta-juta tontonan.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai rancangan kumpulan itu untuk mendidik pengundi luar bandar melalui platform media sosial.

Badrul memetik contoh pilihan raya negeri Johor dan Melaka di mana pengundi tidak keluar mengundi walaupun banyak kempen dilakukan secara dalam talian.

“Menggunakan platform digital tidak berkesan walaupun ahli politik mungkin berpendapat ia berkesan. Lihat di Johor dan Melaka, platform digital digunakan secara meluas tetapi orang tidak keluar mengundi.

“Mereka akan kecewa jika mereka berfikir seperti itu. Tidak ada bukti yang menunjukkan penggunaan platform media sosial mampu diterjemahkan untuk mengundi.

“Trend di Malaysia, kalau kita tak nampak calon depan kita, orang takkan undi parti tu. Skala tak sama. Mungkin di TikTok, seribu tontonan sudah tinggi, tetapi dalam peti undi, seribu undi sangat kecil,” jelasnya.

Statistik terkini menunjukkan Malaysia mempunyai 1.44 juta pengundi berumur antara 18 dan 20 tahun. Pengundi muda membentuk 6.9% daripada 21.03 juta dalam daftar pemilih 2021 yang diwartakan Suruhanjaya Pilihan Raya pada 17 Januari.

Ketika pilihan raya negeri Johor dan Melaka pengundi tidak keluar mengundi walaupun banyak kempen dilakukan secara dalam talian, kata Pengarah Program Iman Research Badrul Hisyam Ismail. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 September, 2022.

Selangor mempunyai jumlah pengundi baharu berumur bawah 21 tahun tertinggi iaitu 280,495, diikuti Johor (176,618), dan Sarawak (133,015).

Undi18, gerakan belia yang berjaya menurunkan had umur pengundi di Malaysia daripada 21 kepada 18, kini dalam misi menyediakan belia dan pengundi kali pertama untuk pilihan raya umum ke-15.

Matlamat utamanya bukan untuk mengajar asas tentang cara mengundi tetapi untuk memastikan belia memahami akibat undi mereka.

Kumpulan itu akan menggerakkan jentera di seluruh negara bagi menyediakan pengundi muda dan kali pertama.

Jangkauan luas di kawasan bandar

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Ilham Center, Hisomuddin Bakar berpendapat platform media sosial boleh membantu mendekati golongan muda dan pengundi atas pagar, terutama pengundi kali pertama.

Beliau bagaimanapun berkata cara tradisional melakukan kempen pilihan raya akan tetap berlaku tetapi menegaskan media sosial akan digunakan secara meluas di kerusi bandar dan separa bandar.

“Mereka akan menarik minat belia dan pengundi atas pagar yang mungkin belum membuat keputusan. Tetapi kebanyakannya, mereka yang berumur di bawah 50 tahun yang tinggal di kawasan bandar atau separa bandar akan menggunakan platform ini tetapi tidak di kawasan luar bandar atau orang tua yang berumur 50 tahun ke atas.

“Mereka akan bergantung kepada cara lama seperti ceramah dari pintu ke pintu setiap malam,” katanya.

Hisomuddin menambah, tidak dapat dielakkan belia hanya bergantung kepada kempen dalam talian untuk menerima maklumat. – 5 September, 2022.

Berita penuh di sini.

Iklan
Iklan