Najib stabil, dibekalkan ubat, kata peguamnya
Iklan
BEKAS perdana menteri Najib Razak dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur semalam untuk menjalani pemeriksaan kesihatan selepas mengadu sakit perut, kata peguamnya Muhammad Shafee Abdullah hari ini.
Shafee berkata, Najib diperiksa di hospital sepanjang hari semalam tetapi tidak dimasukkan ke wad.
Tambahnya, Najib dihantar semula ke Penjara Kajang selepas dibekalkan ubat, dengan beberapa keputusan saringan kesihatan akan dikeluarkan tidak lama lagi.
Shafee ketika ditemui pemberita di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur petang ini berkata Najib berada dalam keadaan stabil dan dapat menghadiri kes mahkamahnya selepas dirawat doktor.
“Beberapa bulan lalu, dia mengalami pendarahan dalaman akibat ulser. Hemoglobinnya turun kepada 4.7 – bacaan normal ialah 16. Jadi doktor kata itu satu keadaan yang boleh menyebabkan strok, sebab paras hemoglobin… bukan sebab apa, sebab berdarah tanpa dia sedar.
“Malam tadi dia merasakan sesuatu tidak selesa di dalam perutnya, sebab itu mereka menghantarnya untuk menjalani pemeriksaan kesihatan menyeluruh,” kata peguam itu kepada pemberita ketika perbicaraan berhenti rehat.
Najib dilaporkan terpaksa dikejarkan ke hospital untuk menjalani pemeriksaan kesihatan semalam.
Dia dilaporkan stabil tetapi keadaan kesihatannya belum dapat dikenal pasti.
“Sepanjang hari dia berada di sana, mereka meletakkannya di dalam bilik, jadi semua ujian dijalankan.”
“Mereka memberinya ubat, bermakna ada masalah tetapi dia tidak apa-apa,” kata Shafee sambil menambah terpulang kepada doktor jika Najib perlu dibawa semula ke hospital.
Shafee turut mengesahkan petisyen untuk pengampunan diraja sudah difailkan bagi pihak Najib pada Jumaat lepas berhubung sabitan SRC International.
Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai perkara itu. – 5 September, 2022.