Pakatan pertimbang bentang bajet alternatif, kata Fahmi
Iklan
PAKATAN Harapan (PH) mungkin mempertimbangkan untuk membentangkan bajet alternatif selepas rundingan dan perbincangan dengan Putrajaya serta rakan gabungannya, kata Fahmi Fadzil.
Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata pada dasarnya adalah lebih baik jika pakatan itu ada bajet alternatif.
Beliau berkata bajet alternatif boleh membantu mencerminkan cara atau pendekatan yang akan diambil PH dalam isu kewangan tertentu yang dihadapi negara.
Ketua Penerangan PKR itu berkata tahun lepas pakatan itu tidak mempunyai bajet alternatif kerana Putrajaya akur dengan cadangannya.
Beliau berkata ini susulan Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik antara Kerajaan Persekutuan dan PH yang ditandatangani bersama Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.
Mengikut perjanjian itu, pembangkang bersetuju untuk menyokong rang undang-undang termasuk bajet sebagai pertukaran untuk pembaharuan yang ingin diteruskan kerajaan.
“Pada asasnya apabila Bajet 2022 banyak cadangan kita (PH) dimasukkan dan itu adalah salah satu sebab mengapa kita tidak mempunyai bajet alternatif.
“Jadi, saya percaya dalam perbincangan (PH) kita akan lihat sama ada terdapat keperluan untuk belanjawan alternatif.
“Oleh kerana perkara utama yang kami bangkitkan dan diterima akan dibentangkan dalam belanjawan alternatif kami,” katanya.
Pengarah komunikasi PH itu berkata jika ia (Bajet 2023) akhirnya menjadi bajet pilihan raya, maka PH akan mempertimbangkan bagaimana untuk membentangkan dasar-dasarnya dan bukan berdasarkan bajet kerajaan.
“Kita akan ikuti proses penglibatan kerajaan dengan pembangkang pada Bajet 2023 dahulu dan kemudian menelitinya.”
Tambahnya, secara tradisi pada masa lalu PH membentangkan bajet alternatif beberapa hari sebelum bajet kerajaan.
Ismail Sabri berkata Bajet 2023, yang pada mulanya dijadualkan dibentangkan pada 28 Oktober diawalkan pada 7 Oktober.
Bajet dan barangan yang ditawarkannya kepada rakyat Malaysia akan ditonton dengan penuh minat kerana ia dibentangkan dalam suasana menghampiri pilihan raya umum.
Sebelum ini, kerajaan Barisan Nasional bebas menaburkan wang yang dibentangkan menjelang pilihan raya umum dan direka bagi menarik minat pengundi.
Ismail Sabri berdepan tekanan daripada ahli Umno untuk mengadakan pilihan raya dalam masa terdekat.
Fahmi berkata PH mahu melihat dalam Bajet 2023 bagaimana kerajaan boleh merancang untuk menggunakan wang pembayar cukai yang lebih cekap bagi membantu keluarga bangkit semula selepas pandemik.
“Sekarang kita sudah keluar daripada pandemik, kita tidak tahu bagaimana bajet ini akan menunjukkan tindakan yang perlu daripada Putrajaya untuk menangani isu-isu ini.
“Saya harap bajet ini adalah penunjuk bagaimana kerajaan berhasrat menggunakan dana awam dengan cekap.
“Ia (belanjawan) mesti ditambah dengan ketelusan dan akauntabiliti yang lebih tinggi.” – 8 September, 2022.
Berita penuh di sini.