Penduduk ancam saman jika kerajaan diam projek Melaka Gateway
Iklan
PENDUDUK dari Kampung Portugis di Bandar Hilir akan terus mendesak untuk mengetahui status projek Melaka Gateway yang menjejaskan pendapatan mereka.
Mereka menggesa pihak berkuasa menjelaskan soal kelulusan projek yang telah dihentikan pada 2020 itu dan memastikan pemaju menyediakan laporan penilaian kesan kepada alam sekitar, sosial dan warisan.
Jika pihak berkuasa gagal mereka tidak teragak-agak akan mengambil tindakan undang-undang.
Pengerusi Kumpulan Tindakan Selamatkan Masyarakat Portugis Martin Theseira berkata mereka terkejut apabila mengetahui projek itu diluluskan kembali pada Mac lalu.
“Kami mahu perintah berhenti sebarang kerja sehingga Laporan Penilaian Impak Alam Sekeliling (EIA), Penilaian Impak Sosial (SIA) dan Penilaian Impak Warisan (HIA) dibentangkan.
“Ramai penduduk di sini tidak mahu projek ini diteruskan. Tiada lagi tebus guna tanah,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Menurut Theseira pihaknya mahu pemaju dan kerajaan negeri sedar kawasan pinggir laut berhadapan Kampung Portugis itu sudah ditutupi oleh projek tebus guna tanah.
“Mereka hampir rampas seluruh kawasan kami. Apa yang tinggal di depan ini hanyalah kolam yang mati,” katanya.
Katanya lagi gara-gara projek ini sekurang-kurangnya 1,200 keluarga terjejas termasuk 150 keluarga nelayan.
“Nelayan tak boleh turun ke laut seperti biasa lagi sebab kawasan pesisir pantai dah tercemar akibat tambakan.
“Mereka terpaksa ke tengah laut untuk tangkap ikan dan ini perlukan modal lebih banyak untuk beli bot lebih besar,” katanya.
Penduduk mempersoalkan kelulusan diberikan kepada pemaju projek Melaka Gateway ini sedangkan ia dibatalkan pada 2020.
Projek Melaka Gateway dilancarkan pada 2014 oleh perdana menteri ketika itu Najib Razak dan sepatutnya memulakan kerja pada 2018 dan siap pada 2025.
Bagaimanapun ia dibatalkan pada 2020 apabila Pakatan Harapan mengambil alih kuasa.
Pada Mac lalu kerajaan negeri pimpinan Barisan Nasional menyerahkan semula projek itu kepada pemaju.
Projek itu melibatkan tebus guna tanah seluas 1,366 ekar di Selat Melaka, dengan kos pembangunan yang diunjurkan sebanyak RM42 bilion.
Ia dianggarkan mewujudkan lebih 40,000 pekerjaan, membawa masuk 2.5 juta pelancong setiap tahun dan menjana RM1.19 trilion untuk ekonomi tempatan.
Sama ada mereka akan mengadakan sebarang bantahan lagi selepas ini Theseira berkata mereka sudah melakukan yang terdaya untuk menghalang projek itu.
Kataya kumpulannya itu juga tidak akan menghantar lagi sebarang surat kepada Menteri Besar Melaka atau pihak berkuasa tetapi akan terus mengambil tindakan undang-undang.
“Walau kami hantar surat bantahan pun mereka tak endahkan. Kami dah hantar banyak surat malah kami juga hantar memorandum kepada Najib, bekas Menteri Besar Melaka, Idris Harun dan Jabatan Alam Sekitar (DOE).
“Masa untuk bantah dan tamat sekarang tiba masa untuk kami ambil tindakan undang-undang. Selepas banyak memorandum dihantar pun kita masih sama jadi kami dah sepakat,” katanya.
Dalam pada itu Gabungan Selamatkan Pesisir Pantai Melaka (SOS Melaka) mempersoalkan kelestarian projek mega tersebut.
Jurucakapnya Chan Tsu Choong berkata pihak kerajaan sering menjual cerita manis apabila mahu menjalankan sesuatu pembangunan namun hasilnya adalah sebaliknya.
“Mereka selalu jual idea mengatakan ini (pembangunan) bagus untuk penduduk tempatan. Ada juga yang janji peluang pekerjaan yang banyak dan bawa masuk pelaburan berjuta ringgit.
“Tapi persoalan kami adakah pembangunan ini lestari? Sebab di Melaka ini sepanjang pantai ada banyak bangunan komersial yang kosong,” katanya.
Kata Chan terdapat juga pusat beli belah dan hartanah lain yang masih kosong dan terbiar di kawasan pantai.
“Jadi kami nampak projek Melaka Gateway ini pembangunan yang sama. Kami rasakan projek ini tidak lestari.
“Pada hujung minggu ramai orang tapi hari biasa tak ramai orang di sini. Kami bukan buta-buta cakap tidak (kepada pembangunan) sebab ini projek mega tapi kami pertikaikan kelestariannya dan siapa yang dapat manfaat?,” katanya.
Tambahnya pemaju perlu mengikut undang-undang dan tidak boleh kompromi termasuk keperluan menyediakan laporan EIA terhadap projek itu.
Tinjauan The Malaysian Insight ke tapak projek itu mendapati kawasan tersebut telah dikepung dan terdapat bangunan dua tingkat yang separa siap namun tiada sebarang aktiviti kelihatan di situ. – 9 September, 2022.