Iklan

Wakil rakyat pertikai projek Melaka Gateway diteruskan tanpa laporan EIA

Noel Achariam2 years ago9th Sep 2022Berita
Melaka gateway tmikamal 01
Projek Melaka Gateway dilancarkan pada 2014 oleh perdana menteri pada masa itu, Najib Razak dengan pembinaan dijadualkan bermula pada 2018 dan siap 2025. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 9 September, 2022.
Iklan

AHLI Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong mempersoalkan kesahan dan bagaimana projek Melaka Gateway bernilai RM42 bilion yang dibatalkan pada 2020, kini tiba-tiba dibenarkan meneruskan pembinaannya.

Beliau berkata pemegang konsesi dibatalkan oleh kerajaan negeri apabila tempoh lanjutan diberikan kepada pemaju untuk menyiapkan projek itu tamat tempoh.

Bagaimanapun, Khoo memberitahu The Malaysian Insight projek itu diberikan semula kepada pemaju pada Mac tahun ini walaupun tidak ada laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA).

“Kenapa projek itu diteruskan semula bila tidak ada laporan EIA dan projek itu pada asalnya sudah dibatalkan?

“Pendirian kami ialah mereka sepatutnya hentikan projek itu dan pemaju perlu menyediakan EIA. Penduduk yang terjejas mahu projek itu dibatalkan,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan dan Industri Melaka Ab Rauf Yusoh sebelum ini berkata kerajaan negeri akan membenarkan KAJ Development Sdn Bhd meneruskan projek itu seperti dirancang.

“Kita tidak ada masalah KAJ Development sambung semula pembangunan itu,” kata Rauf.

Projek Melaka Gateway dilancarkan pada 2014 oleh perdana menteri pada masa itu, Najib Razak. Kerja pembinaan dijadualkan bermula pada 2018 dan siap 2025. Bagaimanapun, ia dibatalkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 2020.

Baru-baru ini kerajaan negeri dipimpin Barisan Nasional (BN) menyerahkan semula projek itu kepada pemaju.

Urus niaga itu membabitkan tambakan tanah seluas 550 hektar di Selat Melaka dan dijangka bakal mewujudkan 40,000 peluang pekerjaan, menarik kedatangan 2.5 juta pelancong setiap tahun dan menjana RM1.19 trilion ekonomi tempatan.

Khoo berkata kerajaan negeri perlu menjelaskan mengapa projek itu dibenarkan tanpa laporan EIA.

“Jabatan Alam Sekitar (JAS) perlu serta-merta mengeluarkan perintah henti kerja sehingga siasatan penuh dijalankan terhadap kes itu.”

Wakil rakyat DAP itu pada sidang Dewan Rakyat sebelum ini berkata beliau meminta Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man, sama ada projek itu sudah menerima kelulusan EIA atau belum.

“Pada 8 Ogos saya menerima jawapan bertulis. Mengejutkan kerana menteri mendedahkan projek Melaka Gateway di bawah KAJ Development Sdn Bhd, tidak pernah menyerahkan laporan EIA kepada JAS.

“Kegagalan projek itu menyerahkan laporan EIA bercanggah dengan seksyen 34A Akta Kualiti Alam Sekitar 2012 dan Perintah Kualiti Alam Sekeliling. (Aktiviti yang Ditetapkan) (Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling) 2015. – 9 September, 2022.

Berita penuh di sini.

Iklan
Iklan