Iklan

Penumpang berang LRT Kelana Jaya rosak 2 kali sebulan

Elill Easwaran2 years ago11th Sep 2022Berita
49930397138 6453468e06 o
Penumpang bengang perkhidmatan LRT laluan Kelana Jaya rosak kali kedua dalam bulan ini menyebabkan ada yang terkandas di stesen KL Sentral dari 9 malam hingga 12 tengah malam tadi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 September, 2022.
Iklan

GANGGUAN perkhidmatan tren transit aliran ringan (LRT) laluan Kelana Jaya – kali kedua dalam tempoh sebulan – menyebabkan penumpang bengang.

RapidKL mengesahkan tren itu mengalami masalah teknikal di stesen KL Sentral malam tadi.

“Tren 59 mengalami masalah teknikal di stesen KL Sentral menuju Putra Heights,” katanya di Facebook.

Pengguna LRT laluan Kelana Jaya menggunakan media sosial untuk meluahkan rasa kecewa dan marah berkenaan tempoh menunggu yang lama dan perjalanan lambat.

Pengguna Twitter @syahirjared berkata RapidKL tidak pernah bersedia untuk acara besar di bandar ini.

“Ketika perarakan Hari Kebangsaan ada beberapa kali masalah dengan LRT dan hari ini sekali lagi masalah selepas Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Raymon Soosai di Facebook menggesa siasatan dilakukan di laluan LRT Kelana Jaya untuk mengetahui punca kenapa ia sering rosak.

“Jika dibandingkan dengan laluan Ampang, laluan Kelana Jaya lebih kerap ada masalah hinggakan ada saja berlaku setiap bulan,” katanya.

Pengguna Facebook Lily Le Belle berkata polis di stesen itu tidak tahu apa perlu dilakukan apabila tren rosak malam tadi.

“Bila penumpang mengadu kepada polis berkenaan kelewatan itu, mereka hanya ketawa dan tidak beri jawapan,” katanya.

Penumpang Madeline Ho minta wang yang digunakan untuk membayar tambang Grab dipulangkan semula kepadanya.

“Saya terkandas di stesen dari 9 malam hingga 12 tengah malam menyebabkan saya terpaksa ambil Grab dan membayar tambang RM16.” – 11 September, 2022.

Iklan
Iklan