Iklan

Kembalikan rumah sewa kepada pelajar B40, desak kesatuan pelajar UM 

Elill Easwaran2 years ago11th Sep 2022Berita
Universiti malaya logo students oct 24 2019
Lebih 10,000 pelajar UM didakwa tidak mendapat tawaran penginapan dalam kampus tahun ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 September, 2022.
Iklan

KESATUAN Mahasiswa Universiti Malaya mendesak pentadbiran universiti mengembalikan semula Rumah Sewa KMUM kepada pelajar B40.

Kesatuan dalam sepucuk surat kepada pihak pentadbiran mendakwa Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) Universiti Malaya tidak sensitif kepada keperluan pelajar miskin.

Menurut surat itu, dinyatakan yang BHEP akan menggunakan kediaman itu untuk kakitangan universiti.

Banglo lama terletak berhampiran Kolej Kediaman Ke-9 dan telah diubah suai untuk penginapan pelajar B40 dengan sewa serendah RM150 sebulan.

KKUM turut mempersoalkan mengapa BHEP enggan membaikpulih rumah lain supaya ia boleh digunakan sebagai kediaman pelajar.  

Minggu lepas, pelajar Universiti Malaya membuat lima tuntutan berkaitan isu penginapan, apabila lebih 10,000 pelajar gagal mendapatkan kediaman dalam kampus tahun ini.

Penyelaras Demokrat Malaya Sharifah I’Nur Habib Idris berkata tuntutan pertama mereka adalah supaya pentadbiran universiti membaikpulih kolej kediaman sedia ada serta menggunakan sepenuhnya bangunan di dalam UM.

“Selain 13 kolej kediaman di dalam dan sekitar kampus UM, terdapat beberapa bangunan yang pada masa kini tidak digunakan sepenuhnya.

“Bangunan tersebut berpotensi untuk diubah menjadi penginapan sementara untuk pelajar yang tersadai sementara mereka menunggu keputusan rayuan dan kekosongan kolej kediaman,” katanya pada satu sidang media.

Satu lagi tuntutan adalah supaya pelajar mengambil alih pentadbiran Rumah Sewa Kesatuan Mahasiswa UM.

Tiga lagi tuntutan adalah pembukaan semula Kolej Kediaman ke-10 dan ke-13 yang kini ditutup, memindahkan pelajar asasi ke Kampus Bachok dan membina kolej kediaman baharu bagi menambah jumlah penginapan.

Awal minggu ini, Persatuan Belia Baharu UM (Umamy) dalam kenyataan berkata lebih 9,000 pelajar UM gagal mendapatkan penginapan dalam kampus tahun ini.

Badan pelajar itu turut mengecam pentadbiran universiti kerana gagal menguruskan isu penginapan dengan baik, menambah yang ramai pelajar B40 turut gagal mendapat tawaran penginapan. – 11 September, 2022.

Iklan
Iklan