Saya selesa tinggal di rumah sendiri berbanding Seri Perdana, kata Rosmah
Iklan
ISTERI Najib Razak, Rosmah Mansor berkata beliau lebih selesa tinggal di rumah sendiri berbanding di kediaman rasmi Seri Perdana, walaupun saiz rumah di Putrajaya itu lebih besar.
“Tadi ada Tan Sri (Ketua Setiausaha Negara Ali Hamsa) tanya saya, saya datang dari mana? Saya kata saya datang dari Taman Duta, Kuala Lumpur walaupun rumah di Seri Perdana dekat sebelah bangunan ini.
“Kalau saya duduk di sini dua minit sampailah sebab saya duduk di KL, 30 minit baru sampai.
“Jadi saya jarang- jarang duduk di sini Tan Sri, sebab it’s nothing like your own home. Rumah ini (Seri Perdana) besar, tapi rasa selesa duduk di rumah saya sendiri di Taman Duta. Kalau saya ada acara di Putrajaya, barulah saya duduk di Seri Perdana,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika memberi ucapan di majlis perasmian Mesyuarat Agung Perwakilan Puspanita ke-36 di Puspanitapuri, Putrajaya hari ini.
Rosmah menjelaskan beliau hanya akan tinggal di Seri Perdana jika mempunyai majlis tertentu di Putrajaya.
“Jadi senang orang datang untuk melawat atau pun datang jamuan,” katanya.
Menurutnya, alasan beliau tidak menetap terus di Seri Perdana adalah sukar untuk berpindah randah.
“Sebab apa, kalau nak duduk di sini, saya kena pindah-randah. Kalau saya duduk di Taman Duta ke Seri Perdana saya kena pindah. Kita perempuan banyak barang nak dibawa.” – 27 Februari, 2018.