Taraf wanita Malaysia lebih baik berbanding negara membangun lain, kata Rosmah
Iklan
KEDUDUKAN dan pencapaian wanita di Malaysia berbanding negara-negara membangun yang lain jauh lebih baik dan amat membanggakan, kata isteri perdana menteri, Rosmah Mansor.
Rosmah yang juga merupakan Penaung Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) berkata, kejayaan tersebut berikutan kerajaan sedia yang sentiasa memberi sokongan padu dalam usaha memartabatkan peranan wanita dalam setiap aspek pembangunan.
“Kerajaan di bawah pimpinan Barisan Nasional (BN) sentiasa peka dan prihatin dengan isu-isu berkaitan wanita dan tidak sekali-kali mengabaikan kaum wanita dalam merangka dasar-dasar pembangunannya.
“Malah, segala inisiatif yang dilaksanakan adalah bersifat inklusif. Ini terbukti dengan peningkatan akses kepada wanita yang membolehkan wanita bergerak progresif dan berpeluang untuk menyumbang secara aktif kepada pembangunan negara.
“Justeru, kita seharusnya berbangga kerana mempunyai kerajaan yang mengiktiraf wanita selaku rakan pembangunan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika memberi ucapan di majlis perasmian Mesyuarat Agung Perwakilan Puspanita ke-36 di Puspanitapuri, Putrajaya hari ini.
Beliau berkata lagi, dalam jangka masa sedekad ini, negara juga dapat melihat penglibatan tenaga kerja wanita secara keseluruhan kian meningkat dan penyertaan wanita mencatatkan 54.3%.
Peningkatan dua kali ganda dilihat dari segi peratusan bilangan penjawat awam wanita iaitu dari 18.8% pada 2004 kepada 37.5% pada 2016.
Bagaimanapun, Laporan Jurang Jantina Global 2017 yang diterbitkan Forum Ekonomi Dunia menyatakan jurang antara lelaki dan wanita dunia semakin besar. Ia menunjukkan wanita masih ketinggalan dalam penyertaan dan peluang ekonomi walaupun cemerlang dalam bidang pendidikan.
Rosmah menambah yang kerajaan menerusi Bajet 2018 telah memperuntukkan pelbagai inisiatif bagi kemudahan wanita, terutamanya kepada wanita bekerjaya.
“Maka, melihat pada tren peningkatan penglibatan wanita dalam sektor pekerjaan, kerajaan telah memperkukuhkan lagi sokongannya terhadap wanita dalam Bajet 2018 dengan memperuntukkan pelbagai inisiatif dan pakej kemudahan yang mesra wanita, khususnya buat wanita bekerjaya.
“Antaranya, termasuklah penambahan cuti bersalin sebanyak 60 hari di sektor awam dan 30 hari di sektor sewasta dan insentif khas bagi menggalakkan kaum wanita untuk kembali bekerja,” katanya. – 27 Februari, 2018.