Ahli Parlimen mahu penjelasan status projek berhampiran kolam tadahan Bangsar
Iklan
DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu menolak serta-merta permohonan pembinaan kondominium mewah baharu bersebelahan kolam tadahan di Bangsar, kata Fahmi Fadzil.
Ahli Parlimen Lembah Pantai itu juga berkata Jabatan Tanah dan Galian (PTG) Wilayah Persekutuan perlu menjelaskan rasional penjualan tanah itu.
“PTG perlu memberi penjelasan penuh. Apakah merit (penjualan)? Apakah pertimbangan teknikal? Mengapa membenarkan penjualan kemudahan awam?
“Justeru, saya percaya dalam hal permohonan (untuk projek itu) ia harus ditolak. Jadi, ada kepastian mengenainya,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Fahmi merujuk kepada cadangan pembangunan pangsapuri mewah di Jalan Maarof.
Pada Sabtu, Persatuan Penduduk Bukit Bandaraya dalam satu kenyataan berkata DBKL memberikan kelulusan bersyarat untuk kebenaran rancangan pembangunan pangsapuri mewah di dua lot tanah.
Mereka berkata tanah itu dijual kepada pemaju bernama Sri Haneco pada 2017 dengan salah satu lot itu terdapat kolam tadahan yang digunakan untuk menyimpan sementara air aliran dari Bukit Persekutuan dan kawasan berhampiran bagi mengelak banjir kilat.
Persatuan itu juga berkata belum ada rundingan awam dengan penduduk tempatan mengenai perubahan (guna tanah) ini, bertentangan dengan apa yang dilaporkan media dalam talian yang memetik sumber daripada DBKL.
Fahmi berkata perlu ada perbincangan dengan pihak berkuasa dan pemaju supaya ia dikembalikan sebagai tanah kerajaan dan dipelihara sebagai kemudahan awam.
“Di Lembah Pantai kita lihat selama ini, tanah yang menjadi kawasan lapang diberi TOL (lesen penghunian sementara) dan kemudiannya (berlaku) pemindahan tanah.
“Adalah lebih penting tanah ini dikembalikan kepada kerajaan kerana kita dapat lihat dengan krisis iklim ini Bangsar turut dilanda banjir baru-baru ini.”
Tambahnya, semua pihak harus akur dengan pendirian Menteri Wilayah Persekutuan Shahidan Kassim yang semua tanah strategik ini mesti kekal dengan kerajaan.
“Pihak berkuasa perlu mencari jalan untuk memastikan tanah itu dikembalikan kepada kerajaan dan ia dapat dipelihara.
“Juga mesti ada komitmen untuk tidak melakukan sebarang pemindahan seperti ini pada masa hadapan.”
Pada Februari lalu, Shahidan berkata belum ada projek pembangunan komersial diluluskan di enam kolam tadahan air di bandar ini.
Beliau juga berkata proses pengeluaran hak milik tanah bagi kawasan berhampiran dua kolam itu adalah di bawah bidang kuasa Ketua Pengarah Tanah dan Galian.
Fahmi berkata Pesuruhjaya Tanah Persekutuan harus mengambil bahagian dalam perbincangan ini dan mereka boleh mendapatkan semula tanah itu.
“Sebagai contoh apa yang dibayar oleh pemaju, pulangkan wang mereka dan dapatkan semula tanah itu.”
Beliau berkata surat rasmi mengenai rungutan mereka akan dihantar kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur Mahadi Che Ngah, Shahidan dan Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan.
“Perkara itu juga akan dibangkitkan semasa persidangan Parlimen akan datang.”
Sementara itu, Penasihat Persatuan Penduduk Bukit Bandaraya M Ali berkata cadangan projek itu perlu ditolak pihak berkuasa.
“Mereka (DBKL) sepatutnya membatalkan semuanya. Sehingga hari ini, tiada laporan penilaian alam sekitar, trafik dan sosial.
“Tiada juga penglibatan dengan masyarakat dan dengan penduduk terdekat di kawasan itu. Semuanya kelihatan sangat lemah.”
Beliau berkata berdasarkan apa yang mereka ketahui, tanah itu diurusniagakan pada 2017.
“Ia (kolam tadahan) dalam Rancangan Bandaraya Kuala Lumpur yang diluluskan bekas menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad.
“Ia dikenal pasti sebagai kolam tadahan sungai. Jadi, bagaimana ia (guna tanah) boleh diubah begitu sahaja? Kenapa DBKL mempertimbangkan kelulusan perancangan? Yang bercanggah dengan rancangan bandar mereka sendiri.
“Pembeli sepatutnya melakukan semakan sewajarnya (status tanah).”
Ali berkata mereka mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Biro Pengaduan Awam dan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob campur tangan.
“Shahidan kata mereka tidak akan sentuh kolam tadahan. Jadi, bukankah ini bercanggah dengan apa yang beliau cakap?
“Kami mahu beliau menolak permohonan itu dan mengembalikannya kepada kawasan lapang hijau.”
Tambahnya pada akhir minggu ini mereka akan menghantar surat bantahan kepada semua pihak yang terlibat.
“Kami akan menghantar bantahan kepada Shahidan, Mahadi, PTG dan Ismail.” – 13 September, 2022.