Iklan

Pemaju ingkar arahan mahkamah, terus jalankan kerja di Bukit Cherakah

Noel Achariam2 years ago13th Sep 2022Berita
Bukit cherakah fb
Peka dan SACF mendakwa pemaju melanggar perintah Mahkamah Tinggi Shah Alam yang mengenakan penangguhan kerja pembangunan. – Gambar Facebook, 13 September, 2022.
Iklan

DUA kumpulan alam sekitar meminta peguam mereka memulakan tindakan menghina mahkamah terhadap pemaju yang menjalankan kerja di hutan simpan Bukit Cherakah.

Peguam Rajesh Nagarajan, yang mewakili Khazanah Alam Malaysia (Peka) dan Persatuan Hutan Komuniti Shah Alam (SACF) akan memfailkan saman itu.

Beliau berkata pemaju melanggar perintah Mahkamah Tinggi Shah Alam yang melarang sebidang tanah dibangunkan.

“Walaupun kami mendapat penangguhan, pemaju masih menjalankan kerja-kerja di sana.

“Perintah mahkamah menyatakan mereka akan berhenti kerja, tetapi mereka (pemaju) masih menjalankan kerja. Jadi, mereka tidak boleh mengabaikan perintah mahkamah itu,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Raj berkata pada 11 Ogos, satu pendengaran diadakan berhubung permohonan Semakan Kehakiman Bukit Cherakah.

Beliau berkata Hakim Mahkamah Tinggi membenarkan penangguhan sementara terhadap penyahwartaan Hutan Simpan Bukit Cherakah sementara menunggu perbicaraan pada 28 September.

“Kami terkejut, kerana mereka (pemaju) sudah diberikan salinan notis (injunksi interim).

“Malah, peguam cara pemaju juga dimaklumkan mengenai perkara itu. Namun, kita masih mendapat laporan mereka sedang melakukan kerja.

“Malah, anak guam saya pergi ke tapak dan memaklumkan kami yang mereka sedang melakukan letupan (kerja).”

Raj berkata beliau sedang merangka perintah menghina mahkamah dan akan memfailkannya pada akhir minggu ini.

Peka dan SACF sedang memohon semakan kehakiman untuk mencabar kesahihan penyahwartaan seluas 406 hektar dalam hutan simpan.

SACF sebelum ini mempersoalkan tindakan kerajaan Selangor menyahwartakan hutan simpan tanpa melalui prosedur penuh pendengaran awam.

Bendahari Kehormat SACF Dr Teckwyn Lim berkata, penyahwartaan itu bercanggah dengan undang-undang perhutanan Selangor, yang menyatakan pendengaran awam mesti dilakukan terlebih dahulu sebelum penyahwartaan, dan kerajaan negeri “memansuhkan” sebahagian besar hutan simpan pada 5 Mei.

Lim menggesa kerajaan Selangor meminda undang-undang perhutanannya supaya penyahwartaan hutan simpan memerlukan kelulusan DUN.

Sebanyak 53 kumpulan masyarakat sivil juga menuduh kerajaan Selangor gagal mengikut proses undang-undang yang sewajarnya dan menuntut Menteri Besar Amirudin Shari membatalkan penyahwartaan itu serta-merta.

Mereka juga berkata perlu ada inkuiri awam mandatori sebelum sebarang penyahwartaan hutan simpan.

Bukit Cherakah dinamakan pada 1909 dan popular di kalangan pencinta alam semula jadi, pengembara dan pelancong. – 13 September, 2022.

Iklan
Iklan