Pengedar kereta mahu jaminan perlindungan bawah undang-undang baru
Iklan
LANGKAH Putrajaya menimbang untuk melaksanakan undang-undang lemon bagi melindungi pembeli kenderaan terpakai mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pengedar kereta.
Undang-undang yang dicadangkan itu boleh menjejaskan mereka dan pada masa sama memberi kelebihan tidak adil kepada pembeli kenderaan terpakai untuk menuntut ganti rugi walaupun atas kecacatan kecil, kata mereka.
Pengedar kenderaan berkata Akta Sewa Beli sedia ada sudah memadai untuk melindungi kedua-dua pembeli dan penjual.
Undang-undang lemon merujuk pada perundangan yang memelihara pembeli kereta atau barangan pengguna lain daripada barangan yang rosak atau tidak memenuhi piawaian kualiti.
Pengerusi Persatuan Pengedar Kereta dan Syarikat Kredit Negeri Sembilan Teh Seng Hap berkata walaupun banyak negara maju sudah melaksanakan undang-undang lemon, pengedar kenderaan di sana masih sukar menerima pelaksanaannya.
“Setahu saya, pengedar kereta di Singapura tidak dapat terima kerana pengguna suka menggunakan undang-undang itu untuk meminta ganti rugi walaupun masalahnya kecil,” katanya kepada The Malaysian Insight.
“Saya faham kerajaan mahu setanding dengan negara maju tetapi masalah kita ialah sistemnya tidak lancar,” tambah Teh.
Bulan lepas, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi berkata pihaknya sedang meneliti penambahbaikan undang-undang berkaitan jual beli kenderaan terpakai termasuk cadangan memperkenalkan undang-undang lemon.
Katanya, usaha itu penting bagi melindungi pengguna agar tidak menjadi mangsa penipuan atau terpaksa menanggung kerugian apabila membeli kenderaan terpakai.
Menurut Teh, sekiranya kerajaan bertegas mahu memperkenalkan undang-undang, ia wajar dibuat secara berperingkat.
Katanya, kementerian juga patut memberi taklimat kepada pengedar kenderaan untuk memahami undang-undang berkenaan selain berbincang langkah untuk menghebahkannya bersama.
“Undang-undang ini tujuan utamanya untuk melindungi pengguna, tapi peniaga pun pengguna juga. Misalnya, pengedar kereta terpakai juga mula-mula beli kereta dan kemudian jual. Bagaimana undang-undang ini melindungi mereka? Ini mesti dijelaskan.
“Jujurnya, saya tidak fikir undang-undang ini baik untuk pengedar kereta. Daripada sudut pandang kerajaan, saya kira undang-undang ini akan menambah keyakinan pengguna kepada penjual kereta terpakai dan meningkatkan perniagaan mereka.
“Tetapi mereka nampaknya tidak fikir pengedar kereta akan rugi kalau pembeli pulangkan kenderaan. Ini pun satu masalah besar,” tambah Teh.
Tegasnya, jika Malaysia mahu juga melaksanakan undang-undang itu, ia mesti menyenaraikan keadaan yang membolehkan kenderaan yang dibeli dipulang semula, bayaran dipotong atau pampasan, demi melindungi kedua-dua pihak, pembeli dan pengedar.
Sementara itu, Naib Presiden Persatuan Pengedar Kenderaan dan Syarikat Kredit Kuala Lumpur dan Selangor Lee Puay Loong berkata ini bukan kali pertama kerajaan bercakap mahu melaksanakan undang-undang itu.
Beliau berpendapat undang-undang itu tidak perlu kerana sudah ada Akta Sewa Beli.
“Dua undang-undang ini akan menyebabkan percanggahan dan menyulitkan perniagaan.
“Undang-undang sewa beli sudah diguna pakai dengan meluas. Apabila ada pengguna mengadu ke kementerian, pegawai akan datang untuk menyiasat,” katanya. – 14 September, 2022.