Iklan

Mahkamah Tinggi tolak sabitan bersalah 4 pelajar UM

Asila Jalil7 years ago27th Feb 2018Berita
Um student tmifarhan 04
Pelajar Universiti Malaya Lau Li Yang (kiri) berbincang sesuatu di luar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ketika keputusan kes mereka dibacakan hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Farhan Nazmi, 27 Februari, 2018.
Iklan

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak keputusan pihak berkuasa disiplin Universiti Malaya (UM) untuk mensabitkan empat pelajar universiti terbabit kerana memegang plakad ketika mesyuarat town hall mengenai 1Malaysia Development Berhad pada 2016.

Keputusan dibacakan oleh Hakim Azizah Nawawi yang berkata asas keputusan itu disebabkan univerisi itu tidak mematuhi prosedur yang ditetapkan di bawah Peraturan 54 dan 55 Kaedah-Kaedah Universiti Malaya Tatatertib Pelajar-Pelajar 1997.

“Apa yang berlaku ialah universiti itu menyoal dan soal balas pelajar berkenaan untuk menjelaskan video dan gambar itu tentang apa, di mana hakim percaya ia satu bentuk pelanggaran prosedur,” kata peguam Lim Wei Jiet kepada wartawan di luar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Lim berkata beliau gembira dengan keputusan itu kerana ia mengesahkan bahawa tindakan pelajar itu adalah kebebasan bersuara.

“Kami percaya universiti sepatutnya menjadi tempat di mana wacana kritikal berlaku, perbezaan pendapat dan malah kontroversi berlaku.

“Jika mereka tidak benarkan semua ini berlaku dan anda mahu pelajar tanya soalan seperti robot untuk memudahkan penceramah, maka anda perlu tanya diri sendiri apa jenis pelajar yang cuba dihasilkan untuk memimpin Malaysia satu hari nanti,” kata Lim, menambah universiti sepatutnya menyediakan platform untuk pelajar berbincang tanpa rasa takut atau dihukum.

Empat pelajar itu ialah Ho Chi Yang, Tan Jia You, Chua Hun Ti dan Lau Li Yang.

Mereka didapati bersalah dan dikenakan tindakan disiplin oleh lembaga disiplin pada Januari tahun lalu kerana memegang plakad dengan perkataan tertera “Pelajar mahu jawapan” dan “1MDB – Kami mahu jawapan” dalam satu forum 1MDB pada Oktober, dua tahun lalu.

Mereka pada awalnya didenda antara RM200 dan RM600 serta dikenakan amaran keras selepas rayuan.

Pada September tahun lalu, empat pelajar itu dibenarkan penangguhan hukuman susulan keputusan pelajar terbabit untuk mencabar keputusan UM berkenaan untuk mensabitkan mereka bersalah. – 27 Februari, 2018.
 

Iklan
Iklan