Iklan

Tidak salah bawa bukan Islam berbuka puasa di masjid, kata mufti

Zulkifli Sulong7 years ago30th May 2017Berita
Ramadhan tmihasnoor 20170527 17
Isu larangan membawa orang bukan Islam untuk berbuka di masjid melibatkan beberapa pemimpin Pakatan Harapan semakin hangat kebelakangan ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 30 Mei, 2017.
Iklan

KETIKA pemimpin PAS mempertikaikan tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berbuka puasa bersama umat Islam, Mufti Wilayah Persekutuan Dr Zulkifli Mohamad Albakri berkata, tidak salah untuk membawa orang bukan Islam ke dalam masjid dan berbuka puasa bersama mereka.

“Dari segi hukum tidak salah, bahkan di zaman Nabi, Sahabat membawa tahanan bukan Islam ke dalam masjid.

“Namun, dari segi pelaksanaannya boleh atau tidak bergantung kepada peraturan pihak berkuasa setempat dan ‘uruf (keadaan) setempat,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Zulkifli ditemui selepas memberikan kuliah di Masjid Kompleks Pertanian Serdang, Selangor tengahari tadi.

Ketika PAS, PKR dan DAP masih bersama dalam Pakatan Rakyat, beberapa ahli Parlimen dan dewan undangan negeri bukan Islam DAP dan PKR di bawa sendiri pemimpin PAS ke masjid dan surau.

Dalam kuliah zohor di masjid itu, Zulkifli turut berkata, adalah tidak salah untuk membawa orang bukan Islam berbuka bersama dengan orang Islam yang berpuasa.

“Mereka nak berpuasa ke, nak berbuka bersama kita ke, ia tidak salah, namun mereka tidak mendapat pahala berpuasa kerana mereka bukan Islam,” katanya.

Zulkifli membawa contoh tindakan umat Islam Kanada yang membawa perdana menteri mereka yang bukan Islam, Justin Trudeau, berbuka bersama mereka. Selain Kanada, Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong dan Presiden Amerika Barack Obama juga pernah berbuka puasa bersama umat Islam.

Sebelum ini, kekecohan turut berlaku di Masjid Annur Kampung Melayu Subang, Selangor apabila Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa yang memasuki masjid itu untuk memberikan bantuan Ramadan turut dimarahi. Laporan polis turut dibuat ke atas Sivarasa. – 30 Mei, 2017.

Iklan
Iklan