Iklan

Jualan mungkin lembap menjelang akhir tahun, kata peruncit

Noel Achariam2 years ago18th Sep 2022Berita
shop tmi
Rakyat Malaysia belum merasai tekanan sekarang kerana gaji bersih mereka masih belum terjejas, kata Retail Group Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 September, 2022.
Iklan

KEMUNGKINAN kemelesetan ekonomi tahun depan tetap tinggi walaupun jualan runcit kembali ke tahap sebelum Covid-19, kata Retail Group Malaysia (RGM).

Kumpulan itu berkata, kelembapan ekonomi global akan menjejaskan pertumbuhan eksport Malaysia, sekali gus menjejaskan gaji bersih dan perbelanjaan pengguna di negara ini.

Putrajaya perlu bersedia untuk mengambil tindakan pantas bagi mengurangkan kesan negatif terhadap negara, kata RGM.

Pengarah Urusannya Tan Hai Hsin berkata, impak negatif itu mungkin ketara pada suku terakhir tahun ini.

Ini katanya, susulan ringgit yang lemah dalam beberapa bulan kebelakangan ini, yang menyebabkan kos import bahan mentah dan barangan separuh siap yang digunakan untuk membuat produk pengguna di Malaysia menjadi lebih tinggi.

“Ia juga menyebabkan harga barangan siap import lebih mahal. Ini menyebabkan harga runcit barangan menjadi lebih mahal sekarang.

“Rakyat Malaysia masih belum merasai tekanan sekarang kerana gaji bersih mereka masih belum terjejas,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Tan berkata, di sebalik faktor luaran itu, perbelanjaan pengguna masih kukuh.

“Amerika Syarikat berada dalam kemelesetan teknikal manakala negara Eropah menghadapi krisis tenaga dan China lembap dalam pemulihannya berikutan dasar ketat Covid-19.

“Semua ini akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi Malaysia menjelang suku keempat tahun ini serta separuh pertama tahun depan.”

Menurut RGM, bagi suku kedua 2022, industri runcit Malaysia mencatat kadar pertumbuhan tinggi sepanjang masa sebanyak 62.5% dalam jualan, berbanding tempoh sama pada 2021.

Tan mengaitkannya dengan tiga faktor utama - perayaan Hari Raya baru-baru ini, kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 serta penutupan banyak kedai runcit pada Mei dan Jun tahun lalu.

“Kelonggaran beberapa SOP Covid-19 mulai 1 April menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia kembali kepada tingkah laku dan corak membeli-belah biasa mereka.

Menurut pakar, belum ada tanda jelas mengenai kelembapan dalam perbelanjaan pengguna. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 September, 2022.

“Tiada lagi sekatan dalam waktu operasi kedai runcit, manakala kapasiti penuh dibenarkan bagi acara dan aktiviti membabitkan kumpulan besar.

“Warga yang tidak mendapatkan dos penggalak dan warga emas dibenarkan masuk ke pusat beli-belah serta menjamu selera di kedai makan.”

Tan berkata, belum ada tanda jelas mengenai kelembapan dalam perbelanjaan pengguna.

Beliau bagaimanapun berkata, kadar pertumbuhan tinggi bagi tiga suku pertama tahun ini tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Ia tidak mungkin berlaku lagi. Kadar pertumbuhan yang tinggi pada 2022 dianggap sebagai sesuatu yang terjadi sekali sahaja.

“Ia tidak akan berlaku lagi melainkan kedai terpaksa ditutup semula pada masa hadapan bagi tempoh masa yang panjang (lockdown).”

Pusat beli-belah jadi tumpuan ramai

Bagi pusat beli-belah, Tan berkata, mereka menyaksikan kehadiran pengunjung yang tinggi tetapi kuasa beli pengguna mungkin menurun disebabkan kos sara hidup yang lebih tinggi.

“Pusat beli-belah masih sesak terutama pada hujung minggu. Kami masih melihat pengguna membeli barangan bukan keperluan selain mengunjungi kafe dan restoran berkualiti.

“Namun rakyat Malaysia sentiasa mencari diskaun dan tawaran oleh peruncit dan pengendali F&B. Mereka cuba mengekalkan kualiti hidup mereka.”

Tan berkata, walaupun kehadiran di pusat beli-belah kembali ke paras 2019, kadar penghunian dan sewa di pusat beli-belah sebaliknya kerana pemulihan sepenuhnya hanya akan berlaku pada 2023.

“Pusat beli-belah baharu yang dibuka dalam beberapa tahun kebelakangan ini akan terus bergelut untuk mendapatkan penyewa baharu dan untuk mencapai kadar penghunian yang tinggi.

“Pusat beli-belah yang kurang dikunjungi pengguna akan terus menghadapi cabaran yang sama pada separuh kedua tahun ini.” – 18 September, 2022.

Iklan
Iklan