Mustahil parti Melayu bersatu lepas PRU15, kata pemerhati politik
Iklan
MUSTAHIL parti Melayu akan bersatu dan membentuk gabungan selepas pilihan raya umum ekoran setiap parti memiliki ideologi tersendiri kata pemerhati politik.
Mereka memberitahu The Malaysian Insight kenyataan bekas peguam negara Tommy Thomas yang menyebut parti Melayu akan bergabung selepas pilihan raya umum (PRU) tidak masuk akal, dan disifatkan sebagai provokasi semata-mata untuk menarik bukan Melayu keluar mengundi.
Menurut mereka sukar untuk melihat Umno bersetuju dengan Bersatu dan lebih sukar untuk Gerakan Tanah Air (GTA) pimpinan Dr Mahathir Mohamad berbaik dengan PAS.
Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisomuddin Bakar berkata jika parti Melayu bersedia untuk bernaung di bawah satu payung, Dr Mahathir boleh saja menyertai Bersatu.
Katanya pertikaian antara parti sedia ada sangat jelas dan mustahil untuk pemimpin parti itu berunding susulan mereka mensasarkan pengundi yang sama.
“Umno tidak boleh terima Bersatu manakala GTA tak boleh terima Bersatu, Umno dan Pas. Ini perkara yang sangat rumit,” katanya.
Dalam sebuah forum pada Sabtu Thomas berkata walaupun terdapat perpecahan jelas dalam kalangan parti politik Melayu namun mereka mungkin senada selepas pilihan raya malah mereka juga mungkin akan membentuk gabungan Melayu.
Menyifatkan tidak akan ada mana-mana parti atau gabungan bakal meraih majoriti undi pada PRU15 nanti, Thomas berkata pertembungan antara PAS, Umno, Bersatu dan Pejuang akan dilupakan susulan bakal ada seruan agar Melayu bersatu.
“Kebimbangan saya selepas PRU15 kita akan masuk fasa tawar-menawar. Rundingan sebenar (akan berlaku) selepas pilihan raya dan di sini akan wujudnya gabungan Melayu bersatu.
“Saya ingatkan anda pertelingkahan antara parti Melayu sebelum pilihan raya akan dilupakan kerana akan ada seruan untuk pimpinan Melayu bersatu,” katanya pada forum ‘Dark Forces Towards GE15’.
Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia Dr Mazlan Ali turut senada dengan Hisomuddin dan menyatakan Umno akan mahu menjadi parti yang dominan dalam kerajaan.
Katanya Dr Mahathir tidak akan membenarkan perkara itu berlaku susulan beberapa pimpinan Umno sedang berdepan pelbagai tuduhan rasuah di mahkamah.
“Umno mahu kekal dominan sebab itu mereka mahu bertanding di lebih 100 kerusi.
“Idea untuk mempunyai kerajaan yang didominasi oleh Melayu itu baik namun tidak praktikal. Umno tak akan terima Bersatu kerana mereka mahu dilihat sebagai pelindung Melayu.
“Mereka perlu lakukan itu untuk bertahan. Jika parti Melayu lain dibenarkan jadi sebahagian kerajaan, bagaimana Umno nak kata mereka satu-satunya pelindung Melayu?,” katanya.
Sebelum ini Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob yang juga Perdana Menteri berkata tarikh pilihan raya umum akan ditetapkan tidak lama lagi.
Ismail ditekan oleh beberapa pemimpin Umno yang menggesa agar diadakan pilihan raya secepat mungkin.
Gesaan itu dibuat selepas bekas perdana menteri Najib Razak dipenjara susulan kes SRC International.
Dalam pada itu pemerhati politik Universiti Malaya Prof Dr Awang Azman Awang Pawi berkata kenyataan Thomas dalam forum tersebut sebagai seruan agar orang bukan Islam keluar mengundi.
“Kesimpulan dia buat tidak betul sebab sukar untuk parti Melayu bersatu. Ada banyak parti yang berbeza
“Saya rasa dia hanya memprovokasi orang bukan Melayu untuk keluar mengundi pada PRU nanti selepas ramai dalam kalangan mereka yang tidak keluar mengundi dalam pilihan raya sebelum ini di Melaka dan Johor,” katanya. – 19 September, 2022.