Pornografi kanak-kanak atas talian makin banyak dan membimbangkan, kata pakar
Iklan
SEMAKIN banyak bahan pornografi kanak-kanak secara online kini menjadi trend yang membimbangkan kerana ia mungkin secara tidak sengaja dilihat oleh kanak-kanak, kata pakar.
Pengasas Pusat Pembangunan Psikologi D’Dawn yang juga pakar psikologi Tan Chee Seng berkata ibu bapa perlu melindungi anak mereka, tetapi tahap kesedaran terlalu rendah.
“Dengan akses internet didapati dengan mudah, kanak-kanak terdedah kepada subjek yang tidak wajar,” katanya kepada The Malaysian Insight.
“Ibu bapa mungkin fikir anak mereka hanya membaca atau bermain permainan video secara atas talian, walaupun sebenarnya mereka mungkin melihat kandungan yang tidak wajar, contohnya pornografi kanak-kanak.”
Tan berkata ibu bapa perlu melakukan pemantauan, termasuk melihat apa yang dilayar anak di internet.
“Berapa ramai ibu bapa yang buat begitu? Bila kanak-kanak diberikan telefon pintar dan tablet, di situlah bahaya bermula.
Tan berkata kanak-kanak yang menonton pornografi kanak-kanak boleh terjejas dalam banyak cara.
“Fikiran mereka boleh salah faham terhadap seks dan mengaitkannya sebagai kotor. Atau mereka fikir seks sekadar perkara kasual dan mungkin mula berkenalan dengan orang lain di atas talian.
“Ia juga boleh membawa kepada berkongsi gambar bogel. Remaja pula, boleh menyebabkan mereka ketagihan kepada bahan itu,” katanya.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun berkata eksploitasi seks kanak-kanak secara atas talian kini meningkat kepada lebih 100,000 protokol internet (IP) Malaysia berdaftar dan dikenal pasti terbabit dengan pornografi kanak-kanak sepanjang tempoh enam tahun.
Beliau berkata data diperoleh polis mendapati 106,764 alamat IP ada kaitan pornografi kanak-kanak direkodkan dari 2017 hingga Ogos tahun ini, dan angka itu amat membimbangkan.
Berkongsi statistic kesalahan seksual membabitkan kanak-kanak, Rina berkata dari Januari hingga Jun, polis menerima 47 kes rogol berkumpulan, seks luar tabii (95), sumbang mahram (127), kelucahan (438) dan rogol (641).
Kauselor pendidikan seks Ngoh Chee Meng berkata kanak-kanak yan tidak menerima pendidikan seks secara tepat mungkin terkeliru dengan pornografi.
“Ini sebabnya kenapa pornografi terhad untuk individu berusia 18 tahun ke atas. Kanak-kanak yang menonton pornografi akan berfikir normal untuk melayan lelaki atau perempuan lain seperti dalam tayangan pornografi.
“Lebih teruk lagi, mereka mungkin boleh jadi perogol,” katanya.
Ngoh berkata seks adalah tentang persetujuan, keseronokan, hormat dan kebersihan, tetapi aspek itu tidak dilihat menerusi pornografi.
“Mereka yang menontonnya akan berfikir ia sikap yang normal dan mungkin mahu meniru perbuatan itu. “ – 21 September, 2022.