Iklan

Ahli Parlimen gesa pihak berkuasa KL sedia pelan tebatan banjir

Noel Achariam2 years ago24th Sep 2022Berita
Kuala lumpur flood 20211219 tmihasnoor -20  full
DBKL perlu melibatkan orang ramai mengenai langkah yang diambilnya untuk mencegah banjir ketika musim tengkujuh. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 September, 2022.
Iklan

PIHAK berkuasa mesti mendengar desakan penduduk Kuala Lumpur berhubung rancangan tebatan banjir bagi musim tengkujuh, kata ahli Parlimen.

Mereka berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mesti melibatkan orang ramai mengenai langkah yang diambil untuk mencegah banjir.

Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil berkata Menteri Wilayah Persekutuan Shahidan Kassim mesti memaklumkan kepada rakyat apa yang dilakukan DBKL mengenai banjir yang kerap berlaku.

“Sekarang ini kita hanya melihat kawasan banjir dan beberapa langkah sementara diambil. Tetapi, mesti ada lebih daripada itu. Ia adalah wang rakyat jadi mereka perlu tahu apakah langkah yang diambil.

“Isu banjir tidak sepatutnya (terlalu teruk sehingga) orang ramai terpaksa mengambil tindakan undang-undang,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Pada Rabu, peguam Ambiga Sreenevasan bersama tujuh penduduk bandar memberitahu DBKL ia mempunyai lima hari untuk menyediakan penduduk bandar dengan rancangan tebatan banjir bagi musim tengkujuh atau berdepan tindakan undang-undang.

Peguam penduduk Lim Wei Jiet menghantar surat tuntutan kepada Shahidan dan Datuk Bandar Mahadi Che Ngah pada Isnin.

Mereka inginkan maklumat daripada DBKL sama ada terdapat rancangan mencukupi untuk menangani banjir jika berlaku pada musim tengkujuh.

Fahmi berkata perlu ada lebih ketelusan dan penglibatan dengan orang ramai.

“Gesaan daripada lapan individu yang mahukan jawapan itu mengulangi apa yang disuarakan ahli Parlimen KL. Kami sudah membangkitkan isu itu di Parlimen berkali-kali agar kerajaan memberikan butiran mengenai rancangan tebatan banjir.”

Fahmi berkata lebih ramai pihak perlu ke depan untuk menuntut jawapan.

“Rakyat mesti faham yang penduduk KL membiayai DBKL. Suara setiap orang yang tinggal dan bekerja di KL harus didengari.

“Apa yang kita perlu tahu sama ada ia (DBKL) akan menjawab kumpulan yang menekan mereka atau menjawab ahli Parlimen di Parlimen.”

Tambahnya, soalan mengenai rancangan tebatan banjir dikemukakan kepada Parlimen apabila sesi bermula pada Oktober.

Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng berkata lebih ramai individu dan kumpulan masyarakat sivil perlu mengambil tindakan undang-undang.

“Saya gembira melihat kebangkitan kuasa rakyat. Pihak berkuasa perlu diingatkan yang mereka dibayar oleh rakyat. Mereka berhutang dengan rakyat, rakyat tidak berhutang kepada mereka.”

Lim berkata ahli Parlimen menggesa rancangan pencegahan banjir tidak berhasil.

“Di manakah kawasan utama banjir? Siapakah kontraktor dan apakah langkah yang sudah diambil? Kita langsung tidak tahu.

“DBKL dan Kementerian Wilayah Persekutuan tidak pernah bercakap dengan ahli Parlimen pembangkang mengenai sebarang rancangan tebatan banjir.

“Saya dan rakan-rakan akan menuntut jawapan daripada Shahidan di Parlimen bulan depan.”

Pengerusi Save Kuala Lumpur M Ali berkata tindakan undang-undang sudah lama tertangguh.

“Ini adalah permulaan yang baik dan petanda positif. Orang ramai harus mula melihatnya secara proaktif kerana kita menderita dalam diam.

“Kami menyokong penuh langkah itu. Kami berharap kumpulan ini dapat berhubung dengan persatuan penduduk. Ramai yang akan tampil menyokong. – 24 September, 2022.

Iklan
Iklan