Asing kuasa antara pendakwa raya dengan peguam negara, gesa Bersih
Iklan
GABUNGAN Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mahukan kuasa antara timbalan pendakwa raya dengan peguam negara diasingkan supaya tiada syak wasangka campur tangan ahli politik.
Ia perlu dibuat sebelum pilihan raya umum akan datang, kata jawatankuasa pemandu Bersih.
“Walau apa pun merit atau keputusan setiap kes, keyakinan orang ramai terhadap institusi yang menjalankan keadilan termasuk mahkamah dan pejabat pendakwa akan terus goyah.
“Memulihkan keyakinan pejabat pendakwa raya dan badan kehakiman harus menjadi keutamaan semua parti politik dan harus disokong oleh semua pihak,” katanya dalam satu kenyataan.
Bersih berkata demikian sebagai respons kepada kes terbaharu melibatkan pemimpin tertinggi Umno.
Mereka berkata sentimen orang ramai tentang Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim yang dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) itu menunjukkan pentingnya pengasingan antara pejabat pendakwa raya dengan peguam negara, yang merupakan lantikan politik.
Semalam, mahkamah sesyen di Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan Abdul Azeez Abdul Rahim daripada tiga pertuduhan rasuah dan enam pertuduhan pengubahan wang haram berhubung projek jalan raya di Perak dan Kedah.
Kata Bersih, pada hari yang sama, tindakan Mahkamah Tinggi Shah Alam membebaskan dan melepaskan Ahmad Zahid Hamidi turut memberi tumpuan kepada peguam negara, sama ada beliau akan merayu keputusan mahkamah.
“Kita harus diingatkan tentang prinsip bahawa ‘keadilan bukan sahaja harus dilakukan tetapi harus secara nyata dan tidak dapat dinafikan dilihat dilakukan’.
“Pendakwa raya, yang mempunyai peranan penting untuk membantu badan kehakiman dalam pentadbiran keadilan jenayah, secara nyata dan tidak dapat dinafikan dilihat sebagai bebas, tidak berat sebelah dan di luar campur tangan politik.
“Ini hanya boleh dilakukan dengan mengasingkan peranan pendakwa raya dan peguam negara yang dilantik secara politik.”
Bersih juga menggesa Putrajaya melengkapkan dan melaksanakan kajian yang dijalankan oleh menteri parlimen dan undang-undang Wan Junaidi Tuanku Jaafar, mengenai implikasi pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan pendakwa raya.
“Bersih juga menggesa kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) mengenai Reformasi Peguam Negara.” – 24 September, 2022.