Dr Mahathir sanggup jadi PM semula, setahun saja
Iklan
JIKA tiada calon lain yang sesuai selepas Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, Dr Mahathir Mohamad berkata beliau sanggup menawarkan diri sebagai calon perdana menteri buat kali ketiga dalam karier politiknya.
Bekas perdana menteri itu berkata, jika rakyat terus mendesak supaya beliau memegang jawatan itu semula, beliau tiada pilihan selain menerimanya.
“Jika saya fikirkan keadaan saya sekarang, saya mahu berehat. Tetapi, saya tidak boleh memikirkan mengenai diri saya sahaja.
“Tetapi, jika tiada sesiapa (calon PM yang sesuai) maka saya akan terima.
“Tetapi ia bukan untuk lima tahun (menjadi PM) tetapi mungkin hanya satu tahun,” katanya pada forum Hard Talk di Selangor hari ini.
Beberapa penganalisis politik meramalkan terdapat kemungkinan tiada gabungan tunggal akan memenangi PRU15 secara mutlak dan perlu mengadakan perjanjian untuk membentuk kerajaan seterusnya.
Pada 4 Ogos, Dr Mahathir menubuhkan Gerakan Tanah Air (GTA) terdiri daripada Pejuang, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia, Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia and Parti Perikatan India Muslim Nasional.
Beliau sebelum ini berkata, GTA akan bertanding di 120 kerusi Parlimen di Semenanjung, yang mana majoriti pengundinya adalah Melayu dan tempat Umno bertanding.
Ahli Parlimen Langkawi itu bagaimanapun berkata, beliau tidak memulakan Pejuang hanya untuk menjadi perdana menteri buat kali ketiga.
“Saya hanya mahu memastikan ada dasar untuk mengasingkan orang Melayu yang dilaksanakan oleh kerajaan yang prihatin yang mendaulatkan bangsa, negara dan agama.”
Dr Mahathir juga berkata, kualiti pemimpin hari ini merosot.
Beliau sebelum ini memegang jawatan perdana menteri dari Julai 1981 hingga Oktober 2003 dan kemudian dari Mei 2018 hingga Mac 2020 bagi jumlah kumulatif 24 tahun, menjadikannya perdana menteri paling lama berkhidmat di negara ini. – 24 September, 2022.