Pilih tarikh PRU sesuai atau dihukum rakyat, kata Loke kepada PM
Iklan
DAP bersedia berdepan pilihan raya pada sebarang masa tetapi mengingatkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob supaya memilih tarikh bersesuaian dan tidak tunduk kepada tekanan Ahmad Zahid Hamidi, kata Anthony Loke Siew Fook.
Setiausaha agung DAP itu berkata Ismail tidak patut bimbangkan tentang presiden Umno tersebut dan beberapa pemimpin lain yang mahukan Parlimen dibubarkan segera.
“Ismail masih mempunyai sokongan Pakatan Harapan supaya Ismail tak perlu bimbangkan tentang Zahid,” katanya pada Kongres Khas DAP di Shah Alam, hari ini.
Kongres hari ini adalah untuk meminda perlembagaan parti tersebut bagi mengharamkan lompat parti. Loke berkata ini selaras dengan pindaan dibuat ke atas Perlembagaan Persekutuan dan berharap semua ahli DAP menyokong usaha itu.
Zahid berulang kali mendesak Ismail mengadakan PRU seberapa segera, malah berkata pilihan raya boleh diadakan ketika musim tengkujuh.
Ismail sebelum ini dilaporkan berkata yang beliau akan membuat pengumuman tarikh pilihan raya selepas pertemuan dengan lima pemimpin tertinggi Umno.
Mengulas lanjut, Loke berkata jika Ismail membubarkan Parlimen ketika musim tengkujuh, Umno akan dihukum pengundi.
Beliau mendesak Ismail supaya bertindak sebagai perdana menteri dan bukannya anggota parti tertentu.
“DAP tak takut berdepan pilihan raya, malah kita boleh lawan esok tetapi saya cabar Ismail buat PRU pada musim hujan.
“Ismail, awak perdana menteri, awak perlu bertindak sebagai perdana menteri dan bukan hanya ikut arahan parti.
“Jika dia berani berbuat demikian, partinya Umno akan dihukum rakyat. Kami tak minta Ismail tak bubar tetapi kita perlu utamakan rakyat,” kata Loke.
Loke turut menegaskan yang DAP terus komited dengan Pakatan Harapan dan akan bertanding di bawah sepanduk kerjasama itu.
Tambahnya, Majlis Presiden PH turut bersetuju untuk menggunakan logo dan bendera sama pada PRU.
“DAP komited sepenuhnya kepada PH dan kami akan bertanding di bawah bendera PH termasuk menggunakan logo sama untuk berdepan parti lain pada PRU,” katanya. – 25 September, 2022.