Najib terima RM2.08 bilion pada 2013, kata saksi
Iklan
SEORANG pengurus bank hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang pada 2013, bekas perdana menteri Najib Razak menerima RM2.08 bilion.
Pengurus cawangan Ambank di Jalan Raja Chulan, R Uma Devi berkata sembilan deposit berjumlah RM2.08 bilion dikreditkan ke dalam akaun Najib dengan digit berakhir 9694.
“Terdapat sembilan transaksi pada Mac dan April 2013 berjumlah RM2,081,476,926.00.
“Saya mengesahkan kemasukan wang ke dalam akaun ini seperti dalam penyata akaun AmIslamic Bank Berhad bertarikh 14 April 2013 yang dirujuk kepada saya,” katanya.
Semasa kenyataan pembukaan pendakwaan, mereka mendakwa jumlah RM2,081,476,926.00 adalah daripada syarikat yang dikaitkan dengan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, atau lebih dikenali sebagai Jho Low.
Bagaimanapun, pihak pembelaan mendakwa semasa perbicaraan wang yang diterima adalah derma dari Arab.
Uma berkata pada Ogos 2013, RM2.03 bilion dihantar kepada Tanore Singapura.
Timbalan Pendakwa Raya Najwa Bustamam kemudian menyoal Uma mengenai akaun Najib.
Beliau bertanya apakah jenis akaun yang ada pada Najib dengan bank yang kemudiannya dijawab Uma adalah akaun semasa.
Uma seterusnya berkata pihak pengurusan atasan di Ambank kemudiannya memberi Najib kelulusan khas untuk menamakan akaunnya sebagai AmPrivate Banking-1MY.
Najwa kemudian bertanya sama ada pelanggan lain mendapat keistimewaan sama yang dibenarkan untuk menukar nama akaun mereka dan Uma memaklumkan hanya tahu Najib sahaja diberi keistimewaan itu.
Najwa kemudian bertanya sama ada orang lain boleh mengakses akaun ini.
Uma berkata selain pengurus perhubungan dan kakitangan cawangan, tiada pihak lain dapat dapat mengaksesnya.
Najwa kemudian bertanya jika ada sesiapa yang boleh menandatangani cek bagi pihak akaun itu.
Uma berkata tiada sesiapa (boleh menandatangani cek) dan hanya pemegang akaun yang mempunyai akses.
Najwa turut menyoal Uma mengenai siapa yang bertanggungjawab terhadap sebarang transaksi.
Uma berkata Najib bertanggungjawab sepenuhnya ke atas semua akaun. – 26 September, 2022.