Iklan

Bersatu gembira jika ahli parti Pakatan guna logonya pada PRU14, kata Muhyiddin

Asila Jalil7 years ago28th Feb 2018Berita
Keadlian anwar ibrahim count down 100 days 02
Muhyiddin Yassin (tengah duduk) mengatakan mana-mana ahli parti komponen Pakatan Harapan yang ingin menggunakan logo Bersatu dialu-alukan berbuat demikian. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 28 Februari, 2018.
Iklan

PAKATAN Harapan (PH) masih belum memutuskan logo tunggal yang akan digunakan untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU) tetapi Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mengatakan ahli mana-mana parti dalam gabungan pembangkang dialu-alukan menggunakan logo Bersatu.

Katanya, Bersatu gembira jika ahli parti komponen PH menggunakan logo Bersatu untuk bertanding.

“Saya hanya boleh bercakap bagi pihak PPBM (Bersatu), mana-mana ahli parti yang akan bertanding di mana-mana kerusi sama ada Parlimen atau negeri yang mahu menggunakan simbol atau logo Bersatu, kami akan sangat gembira,” katanya kepada wartawan pada majlis pelancaran count down 100 hari menjelang pembebasan Anwar Ibrahim di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya hari ini.

Semalam, Pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad mengatakan Majlis Presiden PH memutuskan untuk bertanding di bawah satu logo tetapi tidak mendedahkan logo parti mana akan digunakan.

“Kita boleh menggunakan logo atau simbol daripada empat parti kita… kecualilah RoS (Jabatan Pendaftaran Pertubuhan) jadi pemurah.

“Mereka hingga kini takut dengan kita sehingga sampai sekarang tak luluskan pendaftaran (PH),” katanya.

Menyentuh pembahagian kerusi, Setiausaha Agung PH Saifuddin Abdullah berkata PH sudah menyelesaikan pembahagian kerusi untuk empat negeri iaitu Negeri Sembilan, Kedah, Perlis dan Johor.

Rundingan untuk enam lagi negeri termasuk Selangor masih dijalankan.

Bagaimanapun, Saifuddin tidak memberikan tarikh akhir rundingan itu perlu dimuktamadkan, beliau juga tidak menyatakan jumlah kerusi yang masih dalam perbincangan.

“Sampai sekarang, ada rundingan kerusi untuk negeri lain.

“Harapnya kami berjaya selesaikan tidak lama lagi,” katanya. – 28 Februari, 2018.
 

Iklan
Iklan