Iklan

Surat bon AS$3 bilion 1MDB dibuat tergesa-gesa, kata saksi

Noel Achariam2 years ago27th Sep 2022Berita
1mdb haj najib razak 020218 tmiseth 06 (1)
Bekas pegawai Kementerian Kewangan memberitahu Mahkamah Tinggi surang sokongan kerajaan untuk 1MDB mendapat bon AS3 bilion dibuat secara tergesa-gesa, tidak normal. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 September, 2022.
Iklan

SEORANG bekas pegawai Kementerian Kewangan memberitahu Mahkamah Tinggi surat sokongan (LoS) yang dikeluarkan kerajaan bagi membolehkan 1MDB Global Investment Ltd memperoleh bon AS$3 bilion telah dibuat secara tergesa-gesa.

Bekas timbalan ketua setiausaha Kementerian Kewangan Siti Zauyah Mohd Desa berkata berdasarkan pengalaman 25 tahunnya dengan kementerian, LoS itu adalah transaksi yang tidak normal.

“Ia adalah yang pertama seumpamanya. Semuanya perlu dibuat dengan cepat pada hari yang sama (menyediakan LoS),” katanya.

Zauyah berkata demikian ketika sesi soal balas oleh pendakwa raya Gopal Sri Ram mengenai LoS.

Sri Ram kemudian bertanya kepadanya sama ada langkah berjaga-jaga diambil ketika menyediakan surat tersebut.

Zauyah berkata tiada tindakan sewajarnya diambil.

“Tiada usaha wajar dilakukan ke atas aliran tunai projek dan kesannya untuk kami menilai sama ada ia boleh menghasilkan pulangan yang mencukupi untuk membayar pinjaman.

“Pada hari yang sama kami perlu sediakan kertas (cadangan) untuk dibentangkan kepada kabinet. Tiada penilaian lengkap dibuat ke atas pelaburan itu.”

Pada 2013, 1MDB Global Investment Ltd, anak syarikat 1MDB, mahu mendapatkan bon AS$3 bilion namun jurubank utama Goldman Sachs mencadangkan supaya mereka peroleh LoS daripada Kementerian Kewangan.

Wang tersebut dilaporkan untuk membangunkan projek Tun Razak Exchange (TRX) secara usaha sama dengan Aabar Investment PJS.

Surat sokongan itu dikeluarkan selepas pengarah 1MDB bersetuju secara bertulis untuk mengumpul dana AS$3 bilion (RM12.5 bilion) melalui terbitan bon.

Zauyah yang merupakan saksi pendakwaan ke-26 berkata maklumat yang diberikan untuk menyediakan LoS tidak mencukupi.

Sri Ram kemudian bertanya mengapa beliau tidak beritahu perdana menteri ketika itu mengenai perkara tersebut.

Zauyah berkata beliau telah menghubungi bekas menteri kewangan ketika itu Ahmad Husni Hanadzlah namun beliau tidak mahu terlibat.

“Saya tidak boleh pintas bos saya untuk beritahu PM (perdana menteri). Bukan amalan pegawai pergi terus ke PM.

“Saya tidak ada akses langsung kepada PM.”

Sri Ram bertanya kepada Zauyah sama ada Irwan Serigar Abdullah adalah ketua setiausaha Kementerian Kewangan ketika transaksi tersebut dipersetujuinya.

Ketika ditanya sama ada ia adalah satu pilihan untuk mengingkari arahan Irwan, katanya beliau hanya boleh menasihat.

“Terpulang kepada beliau untuk menerima nasihat itu. Beliau memang memberitahu saya ini adalah mendesak. Ia daripada PM, anda perlu buat,” katanya.

Sri Ram kemudian bertanyakan perasaannya terhadap arahan Irwan.

“Ia adalah arahan,” katanya. – 27 September, 2022.

Iklan
Iklan