Pengurus bank tidak pasti RM2.83 bilion penyelesaian 1MDB libatkan Najib
Iklan
SEORANG pengurus bank memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terdapat penyelesaian berjumlah RM2.83 bilion antara Ambank dan kerajaan berhubung 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Pengurus cawangan Jalan Raja Chulan Ambank (M) Berhad R. Uma Devi berkata beliau tidak pasti sama ada ia berkaitan dengan bekas perdana menteri Najib Razak yang sedang menjalani hukuman penjara.
“Saya mendengar mengenainya (penyelesaian), tetapi saya tidak pasti butirannya,” katanya kepada peguam bela Wan Aizuddin Wan Mohammed semasa soal balas.
Dilaporkan tahun lepas AMMB Holdings Bhd bersetuju membayar kerajaan RM2.83 bilion untuk menyelesaikan semua tuntutan tertunggak dan tindakan berhubung penglibatannya dalam 1MDB.
Kementerian Kewangan berkata penyelesaian itu, yang mendapat liputan global, adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk mendapatkan semula dana dan aset daripada pelbagai pihak yang dikaitkan secara langsung atau tidak dengan dana pelaburan itu.
Kumpulan Ambank perlu membayar penyelesaian itu sebagai tambahan kepada penalti RM53.7 juta yang dikenakan oleh Bank Negara Malaysia.
Aizuddin bertanya kepada Uma sama ada beliau tahu penyelesaian itu melibatkan Najib.
Beliau juga menyoal Uma sekiranya tahu mengenai penyelesaian antara Ambank dan kerajaan itu.
Uma berkata beliau mendengar mengenainya tetapi tidak butiran lengkap dan mengakui terdapat penyelesaian yang dilakukan oleh Ambank.
“Kami hanya diberitahu bank sebenarnya telah membuat penyelesaian kepada kerajaan untuk tidak terlibat dalam mana-mana isu 1MDB. Itu sahaja yang saya tahu. Saya tidak tahu secara terperinci.”
Aizuddin bertanya sama ada penyelesaian itu semata-mata berkaitan 1MDB dan tiada kaitan dengan akaun Najib.
Uma berkata beliau tidak begitu pasti tentang itu (sama ada ia berkaitan dengan Najib).
Semalam, Uma berkata Najib menerima RM2.08 bilion dan RM90 juta ke dalam akaunnya di Ambank pada 2012 dan 2013. – 27 September, 2022.