Iklan

Mana satu musuh PAS dan Bersatu, tanya pemerhati

Alfian Z.M. Tahir2 years ago29th Sep 2022Berita
50236004877 92b478748a o
Pemerhati politik melihat Bersatu dan PAS yang berkongsi panji Perikatan Nasional masih belum muktamadkan musuh untuk ditandingi mereka dalam PRU15 nanti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 September, 2022.
Iklan

BERSATU dan PAS perlu menunjukkan pendirian jelas tentang siapa musuh dan sekutu mereka sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata pemerhati.

Bercakap kepada The Malaysian Insight, mereka mengingatkan PAS supaya tidak berbaik dengan Umno jika mahukan Bersatu, menambah yang mereka perlu selesaikan segera supaya ahli akar umbi tidak puas hati.

Beberapa pemimpin PAS telah mendesak supaya berbaik dengan Umno, namun parti nasionalis Melayu it telah menjelaskan ia akan bergerak secara solo pada PRU15 nanti.

Bersatu dan PAS telah bermesyuarat baru-baru ini berhubung pertemuan rahsia antara presiden Abdul Hadi Awang dengan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Pada Selasa, selepas bertemu Abdul Hadi, Muhyiddin Yassin berkata PAS tetap komited untuk bersama dengan Perikatan Nasional (PN) untuk PRU15.

Prof Universiti Malaya, Dr Awang Azman Awang Pawi berkata PAS mahu berbaik dengan Umno kerana ia bimbang hilang banyak kerusi Parlimen, mahu jadi sebahagian daripada kerajaan andainya Barisan Nasional (BN) menang PRU15.

Dalam pada itu, Bersatu juga berharap Pakatan Harapan (PH) jadi sebahagian daripada kerajaan jika ia menang PRU15 nanti, kata ahli akademik kanan tersebut.

“Pandangan kedua-dua parti ini berbeza kerana objektif mereka pun tidak sama. PAS risau hilang banyak kerusi Parlimen kalau bertelagah dengan Umno dan PH. Ia mahu turut serta jadi sebahagian daripada kerajaan bersama BN.

“Walaupun Bersatu tidak jelaskan pendirian mengenai hubungannya dengan PH, mereka berharap sekurang-kurangnya dapat diterima sebagai sekutu selepas PRU15.

“Apa yang mereka patut buat ialah terangkan perkara itu. Siapa yang mereka mahu? Bila tidak jelas, ahli akar umbi mereka akan keliru,” kata Awang Pawi.

Bersatu dilihat berharap dapat diterima membentuk kerajaan bersama Pakatan Harapan, kata pemerhati. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 September, 2022.

Pada 24 September, Muhyiddin menegaskan BN perlu kekal menjadi musuh dalam PRU15.

Presiden Bersatu itu juga berkata, setiap komponen PN harus bertindak selari dengan ketetapan itu.

“Kalau kita komited dan ahli yang lebih 700,000 ini, didukung PAS dan Gerakan (dengan jumlah) mungkin dua juta ahli, ini gerakan politik besar dengan syarat bergerak satu pasukan menuju satu hala tuju.

“Jangan Bersatu kata begini, PAS kata begini, Gerakan kata begini. Kalau tak tunjuk kesatuan kita akan kalah pasal mesej di bawah tak jelas siapa musuh kita.”

Dalam ucapan di majlis sambutan ulang tahun keenam Bersatu itu, Muhyiddin juga berkata, PN tidak mengambil kira kerusi yang akan ditandingi BN dan juga PH.

“Saya tak nak bincang soal PH, itu hal dialah. Umno nak tanding semua kerusi tandinglah,” kata Muhyiddin, di hadapan kira-kira 1,000 ahli parti yang hadir.

Ucapan Muhyiddin itu mensasarkan PAS yang masih berharap untuk menjalankan kerjasama dengan parti tunjang BN, Umno dalam PRU15.

PAS mahu berbaik dengan Umno kerana bimbang hilang banyak kerusi, mahu jadi sebahagian daripada kerajaan andainya BN menang PRU15, kata pemerhati. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 September, 2022.

Pengarah Eksekutif Ilham Center Hisomuddin Bakar mencerminkan sentimen Awang Pawi sambil menambah PAS sudah tidak boleh bermain-main antara Umno dan Bersatu.

Beliau berkata, PAS kini memegang kunci untuk meneruskan Muafakat Nasional (MN) atau bersama Bersatu di bawah PN.

“Ini adalah ujian untuk Muhyiddin sebagai pengerusi PN bagi memastikan PAS menyatakan pendirian mereka dengan jelas terhadap Umno. PAS masih terbuka untuk bekerjasama dengan Umno dengan naratifnya yang parti Melayu harus bersatu.”

“Tetapi PAS tidak mengambil kira pendirian Umno semasa perhimpunan agungnya apabila Umno berkata ia akan bergerak secara solo dalam PRU15.

“Semuanya terpulang kepada PAS sekarang, jika mereka mahu terus bersama MN atau Bersatu. Tidak ada jalan lain. Mereka tidak boleh bersama Umno dan Bersatu dalam satu kapal,” katanya.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata pada 20 September lalu bahawa pintu kerjasama dengan Umno masih terbuka kerana kedua-duanya bukan musuh.

Takiyuddin berkata PAS tidak bersetuju menjadikan BN sebagai musuh politik mereka pada PRU15, sambil menganggap PH sebagai musuhnya.

Ia berkaitan pertemuan pada Selasa antara Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi. – 29 September, 2022.

Berita penuh di sini

Iklan
Iklan