Dedah hasil siasatan buku Tommy Thomas, kata Zahid
Iklan
LAPORAN hasil siasatan ke atas buku memoir Tommy Thomas oleh pasukan petugas khas yang ditubuhkan kerajaan wajar didedahkan kepada umum, kata Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.
Ahli Parlimen Umno itu berkata hasil siasatan tidak boleh disembunyikan kerana rakyat Malaysia sepatutnya mengetahui perihal sebenar melibatkan bekas peguam negara “lantikan politik” itu.
“Laporan oleh pasukan petugas khas itu juga penting kerana ia berpotensi mendedahkan tentang isu pendakwaan terpilih yang berlaku semasa kerajaan Pakatan Harapan (PH).
“Juga mendedahkan tentang kemungkinan berlaku campur tangan urusan kehakiman oleh seorang bekas perdana menteri untuk kepentingan politiknya,” kata ahli Parlimen Bagan Datuk itu dalam satu kenyataan di Facebook.
Thomas menerbitkan bukunya, My Story: Justice in the Wilderness, pada tahun 2021.
Ia mendapat banyak kritikan, termasuk daripada Jabatan Peguam Negara, peguam, ahli politik dan orang ramai, dengan pelbagai tuduhan menghasut, menghina dan memfitnah.
Polis kemudiannya menerima lebih 100 laporan mengenai buku itu.
Bulan lalu, pasukan petugas khas yang dibentuk untuk menyiasat dakwaan salah guna kuasa kehakiman yang didakwa dalam buku Thomas telah mengenal pasti 19 isu yang memerlukan perhatian segera kerajaan, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
“Ia akan dibentangkan dalam kabinet dan kita perlu memutuskan jalan ke hadapan,” katanya dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, Wan Junaidi tidak menyatakan sama ada laporan itu akan didedahkan kepada umum.
Mengulas lanjut, Zahid berkata selain mendedahkan butiran siasatan, kerajaan juga perlu menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat pendedahan buku Thomas.
“RCI itu amat penting kepada negara kerana ia mengundang tanda tanya mengenai campur tangan politik dalam institusi peguam negara, kehakiman dan keselamatan.
“Bagaimanapun kita berharap dakwaan bahawa peguam negara kerajaan sekarang mengesyorkan laporan akhir siasatan itu tidak didedahkan kepada umum sekadar desas-desus.
“Kebimbangan ini timbul kerana kita memahami sebahagian anggota Kabinet kerajaan campuran sedia ada adalah bekas anggota Kabinet kerajaan PH.
“Anggota Kabinet terbabit pernah 22 bulan bekerjasama dan ‘bermuafakat’ bersama Tommy, maka dikhuatiri mungkin ada perkara yang bagi mereka wajib diselindungi,” tambahnya.– 29 September, 2022.