Iklan

Akaun bank Najib dianggap 'sensitif', kata saksi

Noel Achariam2 years ago29th Sep 2022Berita
Najib razak 1mdb may 20, 2021 afif 01  full
Ketua pasaran modal Ambank, Yap Wai Keat berkata terdapat sejumlah besar wang masuk dan keluar daripada akaun Najib Razak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 September, 2022.
Iklan

SEORANG pegawai bank memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini yang akaun Ambank milik Najib Razak adalah “sensitif” kerana beliau “individu yang terdedah kepada politik” (PEP).

Ketua Pasaran Modal Perbankan Persendirian Ambank, Yap Wai Keat berkata ini kerana terdapat sejumlah besar wang masuk dan keluar daripada akaunnya.

“Ia akaun yang sensitif, jadi seorang pegawai bank perlu mengendalikannya.

“Ini kerana akaun milik Najib merupakan PEP. Jadi, kami terpaksa berhati-hati dalam mengendalikan akaun seperti ini,” katanya kepada peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed semasa pemeriksaan balas.

Wan Aizuddin bertanya kepada Yap mengenai aliran wang ke dalam akaun Najib dan bagaimana beliau tahu ia untuk Najib dan mengapa akaun itu dianggap “sensitif”.

Yap yang merupakan saksi pendakwaan ke-38 berkata beliau dimaklumkan oleh pengurus perhubungan Ambank Joanna Yu yang dana itu milik Najib.

“Yu memberitahu kami siapa penerima wang itu.”

Wan Aizuddin menyoal Yap yang berkata dalam kenyataan saksinya bahawa Najib menerima RM60 juta daripada Putera Faisal Turki bin Bandar Al Saud pada 2011.

Yap berkata beliau ditugaskan menukar dana dolar AS  kepada ringgit (RM) yang masuk dan keluar daripada akaun Najib.

Beliau berkata AS$9,999,977 dengan kadar pertukaran RM30,449,929.97 pada 24 Februari 2011 dan AS$9,999,970 dengan kadar pertukaran RM30,179,909.46 pada 14 Jun 2011.

Bagaimanapun, ia tidak dapat disahkan sama ada Putera Faisal mempunyai sebarang kaitan dengan keluarga diraja Saudi.

Semasa kenyataan pembukaan pendakwaan, ia mendakwa RM2.08 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun bekas perdana menteri itu berasal daripada syarikat yang dikaitkan dengan ahli perniagaan buruan Low Taek Jho, atau lebih dikenali sebagai Jho Low.

Bagaimanapun, pihak pembelaan mendakwa wang itu adalah derma daripada negara Arab.

Wan Aizuddin kemudian bertanya semula kepada Yap mengapa akaun Najib disifatkan sensitif.

Yap berkata pada ketika itu Najib menjadi perdana menteri dan terdapat sejumlah besar wang (sedang diurus niagakan dan ia akan menjejaskan pasaran wang). – 29 September, 2022.

Berita penuh di sini

Iklan
Iklan