Iklan

Apabila inflasi mencengkam, OKU sukar dapat bantuan, kata persatuan

Angie Tan2 years ago1st Oct 2022Berita
Disable
Hasil pendapatan orang kelainan upaya yang mencari rezeki dengan menjual barangan di jalanan selepas pandemik Covid-19 turut terjejas kerana inflasi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Oktober, 2022.
Iklan

KETIKA inflasi menambah kos sara hidup, golongan kelainan upaya (OKU) paling teruk terjejas, kata persatuan yang memberi bantuan kepada golongan ini.

Mereka berkata memandangkan masyarakat kini menangani kenaikan kos, mereka juga kurang bermurah hati dalam menghulurkan bantuan kepada organisasi yang menyediakan bantuan kepada orang kurang upaya.

Mereka berharap Jabatan Kebajikan Masyarakat yang menyediakan bantuan akan menyemak semula beberapa faedah tunai yang disalurkan kepada OKU.

Setiausaha Persatuan Orang Kurang Upaya Cina Malaysia Sia Siew Chin berkata inflasi memberi lebih banyak tekanan kepada OKU berbanding rakyat biasa.

“Banyak kali kita mahu rakan OKU berdikari, tetapi apabila tiada sokongan daripada orang di sekeliling kita, sukar untuk kita berdikari. Lebih-lebih lagi sekarang apabila semua orang sedang bergelut, tiada siapa yang boleh membantu orang kelainan upaya,” kata Sia kepada The Malaysia Insight.

Beliau berkata dalam era pasca pandemik, banyak kilang dan syarikat telah ditutup menyebabkan ramai yang kehilangan pekerjaan dan tidak dapat memberikan apa-apa bantuan.

Menurutnya terdapat penurunan hasil pendapatan orang kelainan upaya yang mencari rezeki dengan menjual barangan di jalanan selepas pandemik Covid-19.

“Sebagai contoh, sebelum ini OKU yang menjual barang di jalanan boleh mendapat 20 pelanggan dalam sehari tetapi kini mereka hanya dapat sekitar 10 pelanggan dan pendapatan mereka hampir RM10 sehari, kadang-kadang hanya beberapa ringgit. Pendapatan mereka adalah sangat terjejas.”

Beliau turut mengimbas kembali insiden yang melibatkan orang kelainan upaya yang memiliki ijazah sarjana tetapi tidak mendapat pekerjaan dan terpaksa menjual tiket loteri di jalanan.

Sia yang juga presiden pengasas Persatuan Hidup Merdeka untuk Orang Kurang Upaya Malaysia (MILAD) mendedahkan pihaknya mengagihkan bekalan dan makanan kepada OKU dan mendapati mereka mengalami kesukaran.

“Baru-baru ini, sebuah kilang mendermakan berpuluh-puluh kotak mi segera kepada kami, tetapi semuanya dihantar dalam tempoh tiga hari. Ini menunjukkan rakan OKU tidak kisah makan mi segera setiap hari untuk terus hidup.”

Dengan kos sara hidup yang semakin tinggi, elaun RM300 hingga RM500 yang disediakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat juga menjadi tidak mencukupi.

Sia berkata OKU yang mempunyai pekerjaan boleh memohon elaun RM450, manakala mereka yang tidak dapat mendapatkan pekerjaan boleh memohon RM300, sambil menambah jika mereka lumpuh teruk memerlukan penjaga, mereka boleh memohon elaun RM500.

“Jumlah ini ditetapkan sebelum inflasi, dan bantuan itu harus diselaraskan mengikut keadaan, jika tidak, kehidupan orang kelainan upaya akan menjadi sangat sukar.”

Beliau mencadangkan sekurang-kurangnya elaun tambahan RM200 hingga 300 perlu ditambah bagi membolehkan OKU memenuhi keperluan asas hidup mereka.

Pengerusi Persatuan Orang Kurang Upaya Intelektual Malaysia (IDA) Sia Ling Ling menegaskan bahawa kos sara hidup hari ini adalah tinggi, yang merupakan beban besar bagi keluarga dengan kanak-kanak berkeperluan khas.

“Kerana mereka semua cenderung menjadi ibu bapa tunggal atau keluarga berpendapatan sederhana.”

Beliau berkata masalah lain ialah gaji minimum baharu RM1,500, yang perlu diambil kira oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Pada masa ini ia mengehadkan gaji OKU yang memohon elaun tidak melebihi RM1,200.

“Jika gaji anda melebihi jumlah itu, anda tidak akan dapat memohon apa-apa, dan saya rasa Jabatan Kebajikan Masyarakat harus menyesuaikan hadnya.”

“Sekiranya OKU mendapat gaji RM1,500 dan dibenarkan memohon elaun RM450, dia akan mendapat RM1,950 sebulan, yang saya rasa boleh membantu mereka mengharungi kehidupan.

“Sudah tentu, jika kerajaan mempunyai keupayaan untuk menyelaraskan elaun kepada RM500, orang kelainan upaya akan mempunyai pendapatan yang mencukupi. Pendapatan RM2,000 sudah memadai untuk saya.”

Bagaimanapun, dia percaya RM2,000 pastinya tidak mencukupi untuk sebuah keluarga yang mempunyai anak kelainan upaya.

“Semuanya naik harga. Kalau boleh, sudah tentu saya harap kerajaan dapat memberi lebih banyak bantuan supaya OKU dapat berdikari dan pada masa yang sama dapat menjaga anak dan keluarga.”

Bagi Lee Sheng Chow dari Persatuan Tukang Urut Buta Malaysia, meningkatkan elaun akan membantu orang kelainan upaya dan keluarga mereka untuk terus hidup.

Beliau berkata purata gaji tukang urut buta adalah kira-kira RM1,000, dengan tambahan RM450 sebagai tip daripada pelanggan yang cukup untuk keperluan asas kehidupan.

“Namun, jika anda sudah mempunyai tukang urut buta dengan anak bersekolah, gaji dan elaun sahaja boleh menjadi tekanan,” katanya. – 1 Oktober, 2022.

Iklan
Iklan