Iklan

Anwar patut lawan di Gombak, Ampang pada PRU15, kata penganalisis

Alfian Z.M. Tahir2 years ago2nd Oct 2022Berita
Anwar ibrahim pentas anak muda tmi 02
Menurut penganalisis politik, dengan merampas semula salah satu kerusi dari tiga di Lembah Klang, Anwar Ibrahim akan menghantar mesej jelas kepada ahli parti mengenai pengkhianat tidak boleh dibiarkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Oktober, 2022.
Iklan

ANWAR Ibrahim sepatutnya bertanding di salah satu kerusi Parlimen PKR yang hilang susulan pembelotan selepas Langkah Sheraton pada Februari 2020 untuk menghantar mesej kepada pengkhianat parti, kata penganalisis politik.

Mereka mengenal pasti tiga kerusi tertentu di Lembah Klang antaranya Gombak, Ampang dan Bandar Tun Razak. Kerusi ini secara tradisinya adalah milik PKR dan dipegang pemimpin kanan parti sebelum mereka berpaling tadah.

Mereka menambah dengan merampas semula salah satu kerusi ini, Anwar akan menghantar mesej jelas kepada ahli parti mengenai pengkhianat tidak boleh dibiarkan.

Mereka berkata demikian ketika perbincangan diteruskan mengenai Anwar dijangka berpindah dari kerusi Parlimen Port Dickson untuk pilihan raya umum akan datang.

Ahli akademik Universiti Teknologi Malaysia, Dr Mazlan Ali berkata tiga kerusi di Lembah Klang itu adalah paling sesuai untuk Anwar kerana kebanyakan pengundi sudah lengkap dengan pengetahuan politik walaupun majoritinya mungkin penyokong atas pagar.

“Di kawasan bandar ini, kebanyakan pengundi mempunyai pengetahuan tentang politik dan mereka mengikuti isu semasa. Mereka mungkin pengundi atas pagar tetapi mereka mengambil serius isu seperti rasuah, salah guna kuasa dan tadbir urus yang baik.

“Mereka ini juga menyedari kesilapan yang dilakukan PH tetapi kali ini, beberapa isu semasa dan undang-undang anti-lompat mungkin menarik mereka. Saya fikir Anwar boleh memilih daripada tiga kerusi ini.

“Terpulang kepada beliau untuk memilih siapa yang mahu dilawan,” tambahnya.

Pada masa ini Ahli Parlimen Gombak ialah Azmin Ali, anak didik Anwar dan bekas timbalan presiden PKR.

Azmin menjadi dalang yang membawa 10 ahli Parlimen PKR keluar parti ketika Langkah Sheraton yang menyaksikan kejatuhan kerajaan PH. Azmin dan kumpulannya kemudiannya menyertai Bersatu.

Ampang pula disandang Zuraida Kamaruddin, seorang lagi bekas tokoh terkemuka dalam PKR dan merupakan antara wanita awal menyertai parti itu ketika ia ditubuhkan.

Beliau pertama kali memenangi kerusi Parlimen Ampang pada 2008, mengekalkan kerusi itu semula pada 2013 dan 2018. Zuraida meninggalkan Bersatu untuk menjadi Presiden Parti Bangsa Malaysia.

Kamaruddin Jaafar yang merupakan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, juga merupakan salah seorang ahli kanan PKR dan rapat dengan Anwar.

Kamaruddin adalah orang Umno ketika Anwar menjadi timbalan perdana menteri bagi parti nasionalis Melayu itu tetapi meninggalkannya untuk menyertai PAS berikutan pemecatan Anwar daripada Umno, sebelum kemudiannya menyertai PKR.

Ahli Parlimen PKR lain yang keluar parti semasa Langkah Sheraton ialah Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Baru Bian (Selangau), Mansor Othman (Nibong Tebal), Rashid Hasnon (Batu Pahat), Dr Santhara Kumar (Segamat), Ali Biju ( Saratok), Willie Mongin (Puncak Borneo) dan Jonathan Yasin (Ranau).

Lawan Azmin atau Zuraida?

Pengarang politik veteran, Sayuti Omar, bagaimanapun percaya Anwar harus menentang Zuraida di Ampang dan bukannya Azmin di Gombak.

Beliau berkata walaupun Azmin adalah dalang di sebalik Langkah Sheraton yang terkenal, bertanding menentang Zuraida akan menjadi strategi terbaik Anwar.

“Azmin adalah anak didik Anwar. Ini anak muridnya. Azmin boleh dipanggil pada bila-bila masa untuk menyertai semula PKR dan sikap Machiavellianisme Azmin tidak akan menghalangnya daripada menyertai PKR semula sekiranya karier politiknya berada di hujung tanduk.

“Jadi strategi terbaik Anwar ialah bertanding menentang Zuraida. Sebenarnya orang Melayu di sana tidak konservatif seperti di pantai timur atau di Johor. Di Ampang mereka lebih berfikiran terbuka,” katanya lagi.

Sementara itu, penganalisis Universiti Malaya Prof Dr Awang Azman Awang Pawi berpendapat Anwar harus berdepan dengan Azmin, yang akan memberi mesej jelas kepada ahli PKR bahawa parti itu serius dalam menangani lompat parti.

Ahli akademik itu berkata Anwar mesti menunjukkan bahawa beliau serius dalam membanteras mereka yang mengkhianati parti, terutama Azmin yang telah menyebabkan kejatuhan PH.

“Bagi saya, dia perlu menentang Azmin. Satu kerana dia adalah dalang di sebalik Gerakan Sheraton, kedua ini akan menunjukkan ahli parti bahawa PKR tidak akan bertolak ansur dengan pengkhianat.

“Saya tidak fikir Ampang atau Bandar Tun Razak adalah standard Anwar. Ditambah satu-satunya yang boleh menjatuhkan Azmin ialah Anwar, bukan orang lain,” katanya.

Minggu lalu, Anwar berkata beliau tidak gentar mempertahankan kerusinya di Port Dickson, kawasan majoriti Melayu walaupun terdapat dakwaan bahawa beliau akan meninggalkan kerusi itu untuk yang lebih mudah.

Exco Perikatan Nasional Johor Rashid Hasnoon berkata berita Anwar bertanding di Ampang menunjukkan bekas timbalan perdana menteri itu tidak yakin untuk mengekalkan kerusi majoriti Melayunya di Port Dickson.

Beliau mempersoalkan Anwar kerana mahu bertanding di Ampang, yang merupakan kawasan campuran dengan 51% pengundi Melayu dan 32% pengundi Cina.

Biar parti yang tentukan

Anggota kanan parti G. Manivanan berkata walaupun nampaknya ada kebenaran dalam Anwar bertanding di Selangor, perkara itu harus diserahkan kepada jawatankuasa pemilihan parti untuk pertimbangan selanjutnya.

Beliau menambah perkara itu masih dalam perbincangan dan setakat ini belum ada keputusan dibuat.

“Saya mempunyai pandangan saya tentang perkara ini tetapi sebagai ahli parti saya rasa tidak wajar untuk saya menyatakan kerusi mana yang perlu ditandingi oleh presiden saya. Tidak sehingga beliau keluar dengan kenyataan sendiri.

“Perkara itu masih dibincangkan dan jawatankuasa masih belum membuat jawapan muktamad. Presiden dan timbalan menteri juga akan meneliti perkara ini sebelum memuktamadkan semua nama.”

Bekas ahli Parlimen Kapar itu bagaimanapun bersetuju mesej yang jelas perlu dihantar kepada pelompat parti, terutama mereka yang meninggalkan PKR pada 2020.

“Saya setuju kita perlu tunjukkan kita serius. Kita tidak boleh ambil mudah perkara ini dan sebab itu juga saya rasa presiden mahu bertanding di kerusi yang disebutkan di atas khususnya di Lembah Klang,” katanya. – 2 Oktober, 2022.

Iklan
Iklan