Iklan

Pakatan kaji Bajet 2023 sebelum sokong, kata Anwar

Alfian Z.M. Tahir2 years ago2nd Oct 2022Berita
Pkr congress 170722 tmiseth 044
Ketua pembangkang Anwar Ibrahim tidak akan menyokong bulat-bulat Bajet 2023 yang akan dibentangkan pada Jumaat di Parlimen. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Oktober, 2022.
Iklan

PAKATAN Harapan akan meneliti Bajet 2023 yang akan dibentangkan Jumaat ini sebelum memutuskan sama ada mereka mahu menyokong atau sebaliknya, kata Anwar Ibrahim.

Ketua pembangkang itu ditanya sama ada gabungannya akan menyokong belanjawan yang akan dibentangkan di Parlimen pada Jumaat.

“Kami akan menelitinya dan kami akan menekankan bagaimana kerajaan mengendalikan projek mega yang kurang telus, mengenai bekalan ubat serta vaksin, rasuah dan kontrak kerajaan yang sehingga kini tidak jelas,” katanya kepada pemberita hari ini selepas majlis forum anjuran Institut Darul Ehsan di Subang, Selangor.

Minggu lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed berkata kerajaan akan memberi tumpuan kepada usaha memulihkan ekonomi negara dalam Bajet 2023, yang akan dibentangkan pada 7 Oktober ini.

Beliau berkata sebelum ini, tumpuan diberikan kepada kesihatan dan apabila keadaan Covid-19 bertambah baik, tumpuan akan diberikan kepada pemulihan ekonomi.

“Tugas utama perdana menteri dan Kabinet adalah untuk memastikan inflasi terkawal dan peluang pekerjaan terus diwujudkan dan pada masa sama terus membantu perusahaan kecil dan sederhana,” katanya kepada pemberita.

Mustapa, yang juga ahli Parlimen Jeli berkata, belanjawan itu adalah rancangan ekonomi jangka pendek yang memerlukan transformasi. – 2 Oktober, 2022.

Iklan
Iklan