Iklan

Lawan kes 1MDB di mahkamah bukan media, kata Sri Ram

Noel Achariam2 years ago4th Oct 2022Berita
Gopal sri ram 190520  full
Pendakwa Raya Gopal Sri Ram berkata peguam bela utama Mohamed Shafee Abdullah mengelirukan media dengan mendakwa pihak pendakwaan gagal mendedahkan bukti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Oktober, 2022.
Iklan

PEGUAM Najib Razak tidak boleh membicarakan kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) di media kerana ia mesti dilakukan di mahkamah, kata Pendakwa Raya Gopal Sri Ram hari ini.

Beliau memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur peguam bela utama Mohamed Shafee Abdullah mengelirukan media dengan mendakwa pihak pendakwaan gagal mendedahkan bukti.

Sri Ram berkata surat yang didakwa pihak pembelaan tidak dikeluarkan diserahkan semasa perbicaraan SRC International Najib.

“Macam mana dia boleh panggil media macam ini dan adakan sidang media? Kalau dia (Shafee) nak lawan, biarlah kita lawan di mahkamah.

“Peguam tertuduh (Najib) mesti menjalankan perbicaraan di mahkamah dan bukan di khalayak ramai,” katanya. 

Semalam pada sidang akhbar Shafee berkata pihak pendakwaan gagal mendedahkan kepada pembelaan butiran lima transaksi berikutnya yang diperoleh pembelaan melalui siasatan mereka sendiri.

Shafee berkata urus niaga itu adalah dana yang diterima Najib ke dalam akaun Ambanknya daripada Kementerian Kewangan Saudi dan Putera Faisal Turki Bandar Al Saud.

Lima transaksi itu berjumlah kira-kira AS$180 (RM837) juta.

Sri Ram berkata adalah tidak wajar baginya untuk menjawab tuduhan awam Shafee.

“Semua surat ini dikemukakan semasa perbicaraan dan rayuan Najib dan ia ditolak oleh mahkamah,” katanya.

Beliau berkata kenyataan Shafee adalah serangan langsung terhadap pihak pendakwaan.

Peguam Najib Wan Aizuddin Wan Mohammed mencelah berkata kenyataan media itu tidak menyentuh penemuan Hakim Nazlan dalam perbicaraan SRC International.

“Kes SRC International adalah pertuduhan berbeza dan tidak berkaitan secara langsung dengan surat-surat tersebut dan cara surat-surat ini digunakan adalah tertakluk kepada penemuan dan fakta undang-undang anda.

“Ia adalah bidang kuasa mahkamah untuk menerima atau tidak (bukti).”

Wan Aizuddin berkata Shafee akan menangani isu itu pagi esok kerana Shafee tidak dapat hadir ke mahkamah hari ini kerana sakit.

Sri Ram mengulangi pihak pendakwaan tidak menyekat bukti.

“Itu tidak benar. Kita perlu diberi kebenaran. Saya tidak sanggup bertolak ansur dengan ini. Kes kami dilemahkan di khalayak ramai,” katanya.

Najib dibicarakan atas tuduhan rasuah membabitkan RM2.28 bilion dana 1MDB. Beliau berdepan 25 pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram bagi kesalahan yang dilakukan antara 2011 dan 2013.

Beliau kini menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang selepas didapati bersalah dalam perbicaraan SRC International. – 4 Oktober 2022.

Iklan
Iklan