Iklan

Zeti tahu Najib terima AS$100 juta dari Arab Saudi, kata saksi

Noel Achariam2 years ago4th Oct 2022Berita
Zeti aktar aziz 210915
Bekas gabenor BNM Zeti Akhtar Aziz dimaklumkan oleh saksi mengenai dana yang masuk dalam akaun Najib Razak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Oktober, 2022.
Iklan

BEKAS gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Zeti Akhtar Aziz tahu Najib Razak akan menerima derma AS$100 juta daripada Arab Saudi pada 2011, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu hari ini.

Bekas pengarah urusan kumpulan AmBank Cheah Tek Kuang dalam kenyataan saksinya berkata beliau bertemu Zeti selepas membuka akaun bank untuk Najib di Ambank.

“Selepas bertemu Najib, saya membuat temu janji untuk bertemu dengan Zeti,” katanya.

“Tujuan mesyuarat adalah untuk memaklumkan (Zeti) mengenai pembukaan akaun Najib dan dana masuk sebanyak AS$100 juta dari Arab Saudi,” katanya.

Cheah berkata sebelum bertemu Zeti, beliau melawat Najib di kediamannya di Kenny Hills untuk membantunya membuka akaun semasa di Ambank.

“Selepas mendapat dokumen diperlukan, saya perlu mendapatkan tandatangan Najib.

“Beliau kemudian memaklumkan kepada saya, ada dana AS$100 juta dari Arab Saudi yang akan masuk.

“Saya tidak tanya wang itu untuk apa, tetapi beliau sendiri memberitahu wang itu adalah sumbangan kerajaan Arab Saudi untuk ‘aktiviti Islam’.

Cheah berkata pertemuan dengan Zeti adalah rahsia dan hanya melibatkan mereka berdua bagi membincangkan mengenai akaun Najib.

“Dalam pertemuan itu, hanya kami berdua sahaja memandangkan perkara ini adalah rahsia dan melibatkan kepentingan perdana menteri.

“Adalah penting saya memaklumkan perkara ini kepada Zeti kerana ia melibatkan ‘individu yang terdedah kepada politik’ (PEP).

“Maksudnya, ia melibatkan kepentingan negara.”

Beliau berkata Zeti mengambil maklum perkara itu dan meminta agar ia dilakukan mengikut peraturan perbankan dan BNM sedia ada.

Minggu lalu, ketua pasaran modal Ambank Yap Wai Keat memberitahu mahkamah yang akaun Ambank Najib adalah “sensitif” kerana bekas perdana menteri itu adalah PEP.

Beliau berkata ini kerana sejumlah besar wang masuk dan keluar dari akaunnya.

Semalam, Yap memberitahu mahkamah Najib didakwa menerima sejumlah AS$1.17 (RM544) bilion daripada penderma Arab dalam dua transaksi berasingan pada 2011 dan 2013.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengesahkan dua transaksi berjumlah AS$800 juta dan AS$375 juta yang dimasukkan ke dalam akaun Najib.

Cheah berkata selepas bertemu Zeti, beliau menyerahkan semua urusan operasi kepada Pengurus Perhubungan Joanna Yu dan kepada bahagian operasi yang diketuai oleh Ross Foden.

“Foden dan pasukannya mencadangkan untuk mengawal selia akaun ini dengan memberikan nama kod khas memandangkan akaun ini sensitif dan untuk mengelakkan kebocoran maklumat seperti dalam kes NFC (National Feedlot Corporation).

“Saya bersetuju dengan nama kod iaitu ‘AmPrivate Banking-MR’ untuk akaun Najib dan bagi mengelakkan maklumat peribadi daripada disalahgunakan.”

Cheah berkata beliau kemudian diberikan surat dengan nama kod akaun Najib untuk dihantar kepada Zeti.

Najib sedang dibicarakan kerana rasuah melibatkan RM2.28 bilion dana 1MDB. Beliau menghadapi 25 pertuduhan - empat untuk salah guna kuasa dan 21 bagi pengubahan wang haram - kesalahan yang dilakukan antara 2011 hingga 2013.

Beliau kini menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang.

Perbicaraan bersambung esok. – 4 Oktober, 2022.

Iklan
Iklan