Bank makanan kekurangan derma, kata kumpulan masyarakat sivil
Iklan
PELBAGAI bank makanan dan dapur amal yang muncul semasa kemuncak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditutup, tetapi bilangan orang yang memerlukan bantuan makanan semakin bertambah, kata kumpulan masyarakat sivil.
Derma daripada orang ramai juga semakin berkurangan, kata mereka.
Goh Teck Kuan, yang bertanggungjawab bagi bank makanan Ji Shan berkata kebanyakan bank makanan yang muncul semasa gelombang pergerakan bendera putih ditutup dalam tempoh dua bulan.
“Masih ramai memerlukan bantuan makanan, sekurang-kurangnya 40% lagi, tetapi stok bahan makanan tidak mudah rosak adalah rendah,” kata Goh kepada The Malaysian Insight.
“Kami tidak dapat memberikan makanan kering dalam kuantiti yang banyak kerana ia perlu diagihkan kepada ramai orang.”
“Malah perniagaan yang pernah menyumbang kepada bank makanan juga berhenti berbuat demikian.
“Kami faham keadaan ekonomi semasa, jadi kami tidak memaksa mereka menderma.”
Pergerakan bendera putih di media sosial bermula pada 28 Jun tahun lalu, hari bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan pakej bantuan Pemulih RM150 bilion selepas melanjutkan PKP yang dilaksanakan selama sebulan bagi tempoh yang tidak ditentukan, seterusnya mencetuskan kemarahan orang ramai.
Tidak jelas siapa yang memulakan gerakan itu tetapi hantaran muncul di media sosial menggesa mereka yang memerlukan bantuan atau makanan mengibarkan bendera putih di luar rumah, dan yang lain bertindak balas dengan memberikan bantuan.
Ji Shan menyediakan tempat pengumpulan di dua pusat membeli-belah dalam tempoh ini. Ji Shan ditubuhkan di Johor pada 2017 tetapi menerima panggilan bantuan dari KL, kata Goh.
“Tahun lalu, kami terpaksa pergi mengutip barang yang disumbangkan seminggu sekali, terlalu banyak barang dan kotak kutipan penuh,” katanya.
“Kini, kotak hanya penuh selepas sebulan. Kami meminta derma di Facebook.
“Selagi ada yang menderma, kami bersyukur. Bagi kes kecemasan, kami akan menggunakan dana sendiri untuk membeli makanan atau menyediakan makanan yang dimasak.”
Inflasi juga menjejaskan bank makanan dengan teruk, kata Goh.
“Kami kini membahagikan satu makanan kepada tiga orang. Kami hanya boleh berharap tidak perlu membahagikannya kepada lebih ramai orang.
“Tidak kira apa yang berlaku, kami tidak akan menutup bank makanan,” katanya.
“Masalahnya ialah kami tidak mempunyai sumber untuk membantu orang di luar negeri, jadi kami hanya boleh memberi mereka maklumat bank makanan terdekat.”
Goh berkata selepas pandemik cara pengagihan makanan juga berubah.
“Kami menyediakan bekalan kepada 200 keluarga setiap minggu. Kami juga meminta mereka mencari pekerjaan.
“Jika mereka bekerja, sama ada sambilan atau sepenuh masa, mereka akan mendapat lebih banyak bekalan berbanding yang tidak bekerja.
“Kami melakukan caraini dengan harapan mereka dapat mencari jalan untuk mencari rezeki.”
Bank makanan HOL 448 yang ditubuhkan pada 2016 di Subang, Selangor juga menghadapi masalah kekurangan sumbangan.
Individu yang bertanggungjawab dengan bank makanan ini Heng Sing Meing berkata derma berkurangan sebanyak 60%.
“Kuil dan perniagaan pernah menderma dari semasa ke semasa, tetapi ia jarang berlaku sekarang kerana mereka tidak mempunyai bajet lagi,” kata Heng.
Memandangkan bekalan berkurangan, Heng berkata mereka terpaksa mengurangkan bilangan barangan yang disediakan daripada 16 kepada 12 sahaja.
Kumpulan ini membantu keluarga berpendapatan rendah, ibu tunggal, anak yatim dan mereka yang sakit.
“Setiap bulan kami menyediakan bekalan kepada lebih 50 keluarga.”
Teh Chiou Shing, setiausaha Persatuan Bank Makanan Taiping berkata selepas pandemik mereka menyaksikan pengurangan derma sebanyak 30%.
“Semasa pandemik, ramai orang kehilangan pekerjaan, permintaan tinggi ketika itu,” kata Teh.
“Kami juga menerima banyak sumbangan ketika itu. Jadi, kami tidak menghadapi masalah untuk memenuhi permintaan.
“Disebabkan keadaan ekonomi, jumlah derma menurun dengan ketara. Jadi, jumlah barang yang kami agihkan juga berkurangan.” – 6 Oktober, 2022.