Iklan

Pengembara perlu isytihar barang boleh dicukai atau larangan semasa ketibaan

Noel Achariam2 years ago6th Oct 2022Berita
Caam
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia berkata penumpang yang tiba atau meninggalkan Malaysia kini perlu mengisytiharkan semua barang yang boleh dikenakan cukai atau larangan kepada pegawai Kastam.– Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Oktober, 2022.
Iklan

PENUMPANG yang tiba atau meninggalkan Malaysia kini perlu mengisytiharkan semua barang yang boleh dikenakan cukai atau larangan kepada pegawai kastam, kata Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Ketua Pegawai Eksekutif CAAM Kapten Chester Voo berkata pengembara perlu mengisi borang pengisytiharan kastam.

Beliau berkata Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) melalui surat bertarikh 5 September telah menyatakan bahawa pengisytiharan Borang Kastam No. 7 (K7) adalah satu keperluan di bawah Seksyen 103 Akta Kastam 1967.

Menurut Akta tersebut, setiap penumpang atau individu lain yang tiba di atau meninggalkan Malaysia hendaklah mengisytiharkan semua barang yang boleh dikenakan cukai atau larangan dalam milikannya, sama ada pada dirinya atau dalam mana-mana bagasi atau dalam mana-mana kenderaan, kepada pegawai kastam yang sepatutnya.

“Di bawah Peraturan no. 55 Peraturan Kastam 2019, setiap pengembara atau individu lain yang tiba atau meninggalkan Malaysia hendaklah mengisytiharkan dalam Borang Kastam No.7 dalam Jadual Ketiga,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, tiada alasan diberikan untuk penyambungan semula pemeriksaan ini yang telah dihentikan beberapa tahun lalu.

Voo juga berkata bahawa semua syarikat penerbangan yang memasuki Malaysia dikehendaki mengumumkan butiran kepada semua penumpang.

“Bagi mematuhi peruntukan undang-undang ini bagi penumpang yang tiba di Malaysia melalui udara, JKDM meminta kerjasama semua syarikat penerbangan yang memasuki Malaysia untuk membuat pengumuman kepada semua penumpang mengenai keperluan mengisi Borang K7 dan menyerahkannya kepada pegawai kastam bertugas di lapangan terbang,” katanya.

CAAM juga memberi contoh pengumuman yang akan dibuat dalam bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia sebelum pesawat mendarat.

Pengumuman itu adalah seperti berikut:

“Setiap pengembara yang tiba di Malaysia dikehendaki mengisytiharkan semua barangan berduti dan larangan serta mata wang atau instrumen boleh niaga yang berjumlah melebihi USD10,000 dalam milikan.

“Pengisytiharan hendaklah dibuat dalam Borang Kastam No. 7 dan diserahkan di pusat pemeriksaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM). Borang Kastam No. 7 boleh didapati di kaunter JKDM.

“Pengisytiharan palsu atau kegagalan untuk mengisytihar adalah suatu kesalahan di bawah undang-undang Malaysia.”

Ia juga tidak jelas sama ada setiap penumpang perlu mengisi borang atau hanya mereka yang membawa barang berduti atau wang berjumlah lebih AS$10,000.

Sebelum ini, penumpang hanya dikehendaki mengisytiharkan secara lisan barangan berduti, barang larangan atau sebarang jumlah melebihi AS$10,000 kepada pegawai kastam.

Pegawai kastam juga akan menjalankan pemeriksaan rawak ke atas penumpang yang masuk. – 6 Oktober, 2022.

Iklan
Iklan