Muhyiddin persoal kesahan RoS lulus pemilihan Umno ditangguhkan
Iklan
PRESIDEN Bersatu Muhyiddin Yassin mempersoalkan sama ada Setiausaha Agung Umno Tengku Adnan Tengku Mansor benar-benar menerima surat Jabatan Perdaftaran Pertubuhan (RoS) mengenai penundaan pemilihan agung Umno.
Beliau juga mempersoalkan sama ada RoS mempunyai hak untuk membenarkan pemilihan parti itu ditangguhkan setahun lagi.
“Setakat yang saya tahu, walaupun RoS bertanggungjawab dalam pendaftaran parti, ia tidak boleh melanggar Perlembagaan parti,” katanya kepada wartawan di Ibu Pejabat Bersatu di Petaling Jaya hari ini.
Selasa lalu, Tengku Adnan mengatakan pemilihan parti itu dijadualkan akan berlangsung pada 19 April tahun depan dan RoS sudah meluluskan permohonan parti itu untuk menangguhkan pemilihan parti.
Tengku Adnan mengatakan penangguhan itu dibuat bagi memastikan pemilihan itu dapat dilakukan dengan lancar selaras dengan Klausa 10.15 Perlembagaan Parti yang mengatakan pemilihan perlu diadakan dengan lancar dengan mengambil kira situasi politik semasa dan negara.
Muhyiddin berkata keputusan menangguhkan pemilihan Umno itu bertentangan dengan Klausa 10.16 Perlembagaan parti itu yang mengatakan walaupun Majlis Tertinggi mempunyai hak menangguhkan pemilihan Majlis Tertinggi, peringkat cawangan dan bahagian, penangguhan itu tidak boleh melebihi 18 bulan daripada tarikh pemilihan parti sepatutnya dijalankan.
Sedangkan, menurut Muhyiddin, pada 26 Jun 2015, Perdana Menteri Najib Razak yang juga presiden Umno menangguhkan pemilihan parti yang sepatutnya diadakan pada 19 Oktober 2016 kepada 19 April tahun ini.
Beliau menimbulkan tentang kotroversi dihadapi Bersatu dengan RoS apabila ia menangguhkan mesyuarat agung tahunan, walaupun alasan mereka lebih kukuh berbanding Umno.
“Pada 25 Julai 2017, setiausaha agung PPBM (Bersatu) menulis surat kepada RoS untuk memohon penangguhan AGM PPBM kerana bahagian masih belum setahun ditubuhkan dan cawangan PPBM masih belum dibentuk.
“Ini adalah sebab yang kukuh memandangkan PPBM adalah parti baru dan masih dalam proses melengkapkan struktur parti,” katanya menambah yang permohonan itu ditolak.
Bersatu mengadakan AGM mereka pada 30 Disember tahun lepas.
“Bagaimanapun, RoS mengancam kami mengugut yang PPBM telah melanggar perlembagaan parti kerana tidak mengadakan mesyuarat bahagian dan cawangan dan pendaftaran parti boleh dibatalkan.
Tambahnya, RoS tidak boleh bersikap pilih kasih dalam soal ini kerana Umno telah melanggar perlembagaannya sendiri.
“Jika RoS mempunyai kuasa mengecualikan untuk mengecualikan Umno (daripada syarat), maka kuasa pengecualian itu juga perlu terpakai kepada PPBM kerana alasan diberikan PPBM lebih muhasabah daripada yang diberikan Umno,” kata Muhyiddin. – 1 Mac, 2018.