Perbicaraan 1MDB Najib ditangguhkan, Shafee sakit
Iklan
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menangguhkan perbicaraan 1Malaysia Development Bhd Najib Razak kerana peguam bela Mohammed Shafee Abdullah jatuh sakit.
Peguam bela Alaistair Brandah Norman memberitahu Hakim Collin Lawrence Sequerah Shafee tidak sihat untuk menghadiri perbicaraan bagi menjalankan pemeriksaan balas terhadap bekas pengarah urusan AmBank Cheah Tek Kuang.
Katanya Shafee memperoleh Sijil Perubatan daripada doktor dari 6 hingga 9 Oktober lalu.
“Beliau sakit dan mengalami demam serta jangkitan tekak yang teruk yang menghalangnya daripada memeriksa balas saksi hari ini,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustafa P Kunyalam tidak membantah penangguhan itu.
“Kami tiada bantahan, kami mahu Shafee kembali sihat sepenuhnya untuk meneruskan pemeriksaan balas,” katanya.
Sequerah kemudian bertanya tentang sambungan perbicaraan kes itu Selasa depan.
Alistair bagaimanapun berkata Shafee tidak akan hadir untuk menghadiri perbicaraan pada waktu pagi dan keesokan harinya pada Rabu.
Kataya ini kerana Shafee perlu menghadiri dua kes berasingan pada tarikh tersebut.
Mustafa kemudiannya membantah penangguhan itu dan memberitahu hakim perbicaraan perlu diteruskan.
Sequerah bersetuju dan berkata perbicaraan akan diteruskan pada hari Selasa.
“Kami perlu meneruskan dengan saksi baharu. Saya menghargai dia (Shafee) mempunyai komitmen tetapi perbicaraan ini tertangguh sekian lama.
“Kita tidak boleh menunggu mahkamah ini, mahkamah itu dan mahkamah lain. Kami mempunyai komitmen untuk menyelesaikan percubaan ini,” katanya.
Najib sedang dibicarakan atas tuduhan rasuah membabitkan RM2.28 bilion dalam dana 1Malaysia Development Bhd. Beliau berdepan 25 pertuduhan iaitu empat salah guna kuasa dan 21 pengubahan wang haram untuk kesalahan yang dilakukan antara 2011 dan 2013.
Beliau kini sedang menjalani hukuman 12 tahun di Penjara Kajang setelah disabitkan kesalahan menyeleweng dana SRC International. – 6 Oktober, 2022.