Perpecahan parti Melayu tidak bantu Pakatan pada PRU15, kata penganalisis
Iklan
TIADA bezanya peluang untuk Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) jika tiga parti Melayu – Umno, Bersatu dan PAS – berpecah, kata pemerhati politik.
Mereka menjadikan pilihan raya negeri Johor dan Melaka sebagai contoh bagaimana PH ditewaskan walaupun Umno, PAS dan Bersatu meletakkan calon menentang satu sama lain dalam kedua-dua pilihan raya negeri.
Tambahan pula, kata mereka, tidak ada isu besar yang boleh digunakan untuk mempengaruhi pengundi, seperti skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Pengurus Kanan Merdeka Center for Opinion Research, Tan Seng Keat berkata beliau tidak percaya PH akan mendapat sebarang kelebihan dalam perbalahan politik Melayu.
Beliau berkata tidak ada isu besar yang boleh digunakan parti politik untuk mempengaruhi pandangan umum terhadap kerajaan.
Dalam keadaan sedemikian, Umno dan Bersatu, dengan pengaruh kuasa mereka yang besar, akan mengekalkan kelebihan mereka.
“Tetapi akan ada satu persoalan: Adakah mereka boleh mendapatkan pengundi atas pagar?”
Tan berkata ia akan menjadi sukar untuk Umno.
Beliau berkata parti itu telah dicemari oleh kepimpinan tertinggi mereka, termasuk bekas presiden Najib Razak dan presiden sekarang Zahid, sama ada telah disabitkan kesalahan atau sedang dalam perbicaraan rasuah.
Sikap konservatif parti itu dan kadang-kadang sikap tidak bertoleransi yang melampau terhadap agama lain, telah menyebabkan mereka gagal menarik minat pengundi atas pagar.
“Pengundi atas pagar berkemungkinan memihak kepada PH,” kata Tan.
Beliau juga berkata terdapat kemungkinan bahawa pengundi atas pagar mungkin tidak keluar mengundi.
“Mereka hanya bosan dengan politik. Mereka lebih bimbang dengan cabaran ekonomi yang mereka hadapi.
“Ini akan membuatkan mereka kurang bersedia untuk keluar dan mengundi,” kata Tan.
Beliau berkata dalam keadaan sedemikian, beliau merasakan tiada mana-mana pihak, baik PH mahupun parti Melayu, akan mendapat sebarang kelebihan sekiranya berlaku perpecahan undi Melayu.
“Apa yang PH perlu lakukan ialah mencari jalan untuk memastikan peratusan keluar mengundi lebih tinggi kerana Umno dan PAS mempunyai penyokong tegar yang jauh lebih besar yang akan keluar mengundi mereka, tidak kira cerah atau hujan, mahu pun banjir.
“Mereka yang mengundi Bersatu pada 2018 sebahagian besarnya adalah pengundi atas pagar yang mungkin tidak mahu mengundi mereka seperti yang mereka lakukan pada pusingan lepas.”
Penganalisis politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Dr Lau Zhe Wei, juga berkata jika parti Melayu berpecah, PH tidak akan mendapat sebarang kelebihan.
“Lihat pada pilihan raya negeri Melaka dan Johor. Umno, PAS dan Bersatu meletakkan calon menentang satu sama lain dan itu tidak membantu PH.
“Jika Umno dan Bersatu boleh bekerjasama dalam pilihan raya, maka PH akan menghadapi masalah.
“Tetapi jika Umno, Bersatu dan PAS terus bertelagah, ia tetap tiada bezanya.”
Bagaimanapun, pemangku Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden, memberi amaran bahawa orang Melayu yang berpecah belah hanya memberi peluang kepada DAP untuk kembali berkuasa bersama rakan gabungan PH mereka.
“Pemimpin politik Melayu Islam harus mengutamakan agenda Melayu Islam dan mengetepikan kepentingan peribadi. Agenda ini tidak akan berjaya jika pemimpin politik Melayu terus melakukan kesilapan yang sama dengan hanya menumpukan kepada isu kepentingan peribadi,” kata Afnan. – 8 Oktober, 2022.
Berita penuh di sini.