Iklan

Umno mahu PAS, tak yakin bergerak solo PRU15, kata pemerhati

Alfian Z.M. Tahir2 years ago8th Oct 2022Berita
49936610236 b442af7629 o
Pemerhati melihat Umno tidak akan menang mudah tanpa rakan sekutu pada PRU15 kecuali jika berjaya menarik PAS bersama mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Oktober, 2022.
Iklan

UMNO tidak yakin untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) secara solo malah ia membuka pintunya kepada PAS dalam percubaan terakhir untuk memikat parti Islam itu, kata pemerhati.

Mereka berkata Umno sedar ia tidak mampu menang lebih daripada 40 kerusi melainkan ada sekutu.

Penganalisis juga menyifatkan pengumuman Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi akan bergerak secara solo sebagai mengejutkan.

Minggu lepas, Ahmad Zahid berkata Umno akan kembali ke meja rundingan dengan PAS jika ia putus hubungan dengan Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) untuk bergabung dengan Umno/Barisan Nasional (BN).

Beliau memberitahu pemberita tiga syarat itu telah disampaikan kepada Presiden PAS Abdul Hadi Awang ketika ditemui baru-baru ini.

Pemerhati politik veteran Sayuti Omar memberitahu The Malaysian Insight, Umno sedar ia tidak boleh menang lebih daripada 40 kerusi Parlimen tanpa rakan sekutu.

“Betul apa yang dikatakan Rahim Thamby Chik dari Bersatu baru-baru ini yang Umno tidak akan dapat lebih daripada 50 kerusi.

“Mereka perlukan PAS untuk menang sekurang-kurangnya 15 hingga 20 kerusi tambahan tetapi masalahnya PAS mahukan Bersatu. Ahmad Zahid kini dalam dilema.

“Suatu ketika beliau begitu yakin untuk bergerak solo dalam pilihan raya tetapi kini beliau telah merendahkan nada untuk menerima PAS.

“Di kerusi majoriti Melayu, bukan setiap orang Melayu sokong Umno. Ada yang mahu Bersatu, ada yang mahu Pakatan Harapan (PH).

“Yang muda tidak berapa minat Umno. Jadi sekarang Umno tidak yakin.

“Jika Umno masih percaya akan jadi macam pilihan raya negeri Johor dan Melaka, maka mereka silap. Jumlah keluar mengundi yang rendah membantu mereka menang dalam pilihan raya negeri,” kata Sayuti.

Pada Mac, pakar berkata kemenangan BN dalam pilihan raya Johor disebabkan terutamanya oleh perpecahan dalam kalangan parti pembangkang dan peratusan keluar mengundi yang rendah.

BN menang 40 daripada 56 kerusi di Johor, manakala DAP dan Amanah – bertanding di bawah PH – menang 11, manakala PKR yang menggunakan logo sendiri menang satu.

PN pimpinan Muhyiddin Yassin menang tiga kerusi, dengan bekas perdana menteri itu menggelar diri mereka sebagai “underdog”. Sementara itu, Muda, sekutu PH, menang satu kerusi.

Peluang lebih besar bersama PAS

Dr Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) turut berkongsi pandangan dengan Sayuti.

“Memang hairan Ahmad Zahid mahu PAS semula, mungkin beliau nampak ada beberapa isu yang tidak menyebelahi mereka seperti skandal Littoral Combat Ship (LCS). Mereka perlukan PAS untuk melunakkan. Nampaknya mereka tidak yakin.

“Tetapi adakah mereka hanya akan bekerja di 27 kerusi yang sekarang ini milik PH? Apa yang akan berlaku kepada kerusi lain seperti Pengkalan Chepa atau Kuala Terengganu atau beberapa kerusi di Johor?

“Jika mereka hanya bersetuju untuk 27 kerusi, ini bukan mesej yang jelas untuk dihantar kepada ahli mereka. Kami bekerjasama tetapi hanya di beberapa kerusi, kami akan berlawan sesama sendiri di kerusi lain. Adakah ini yang mereka cuba cakap?” kata ahli akademik itu.

Beliau merujuk kepada Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man yang berkata beliau mengharapkan rundingan dengan Umno melalui Muafakat Nasional (MN) bagi mengelak pertembungan dengan BN di 27 kerusi Parlimen “kritikal” pada PRU15.

Mazlan berkata pada masa ini terdapat 120 kerusi majoriti Melayu di seluruh Malaysia.

“Adakah mereka akan berkongsi kerusi atau adakah mereka akan berlawan antara satu sama lain?” tanya Mazlan.

Pengarah Eksekutif Ilham Center Hisommudin Bakar pula berkata Umno tidak takut untuk bergerak secara solo pada PRU15 tetapi dalam masa sama turut mahukan PAS untuk menambah peluang untuk mereka menang.

Tambahnya, Zahid mahu menimbulkan keraguan dalam hubungan antara Bersatu dengan PAS.

“Ini adalah percubaan terakhir Umno untuk mengajak PAS dan Umno mahu Bersatu meragui PAS. Umno dan Bersatu mungkin tidak bersetuju untuk bekerjasama tetapi PAS tidak sabar-sabar untuk apa yang dipanggil rancangan Penyatuan Ummah.

“Umno beritahu PAS mereka hanya ada satu pilihan - untuk bersama Umno atau tidak. Umno yakin untuk bergerak secara solo, tetapi mereka rasa jika mereka dapat PAS di bawah MN, peluang akan lebih baik buat mereka,” katanya.

Tambahnya Umno tidak lagi boleh mengharapkan keputusan yang sama seperti pilihan raya negeri Johor dan Melaka kerana peratusan keluar mengundi mungkin lebih tinggi semasa pilihan raya umum.

“Jika mereka fikir keputusan boleh berulang lagi dengan mengharapkan peratusan keluar mengundi yang rendah, ia boleh ‘makan diri’. Dalam pilihan raya umum, peratusan keluar mengundi akan berbeza. Ia tidak akan sama,” tambahnya. – 8 Oktober, 2022.

Iklan
Iklan