Iklan

Rehda rayu lanjutan 75% pengecualian duti setem

Noel Achariam2 years ago7th Oct 2022Berita
51426725104 4015844598 o
Rehda berharap kerajaan akan mengambil lebih banyak langkah dalam menangani masalah dalam industri pembangunan dan hartanah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Oktober, 2022.
Iklan

PEMAJU hartanah merayu kerajaan mempertimbangkan lanjutan pengecualian duti setem 75% kepada semua pembeli dan bukan hanya pembeli rumah kali pertama, kerana ia akan memberi faedah kepada lebih ramai pembeli.

Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda) NK Tong berkata pihaknya berharap kerajaan akan mengambil lebih banyak langkah dalam menangani kebimbangan dalam Belanjawan 2023.

“Pelbagai isu dihadapi industri pembangunan dan hartanah digariskan dalam memorandum Belanjawan 2023 kami kepada kerajaan.

“Kami juga berharap kerajaan mengambil lebih banyak langkah untuk meringankan masalah ini seperti kenaikan harga bahan binaan dan isu kekurangan tenaga buruh yang menjejaskan industri ini.”

Beliau berkata Rehda akan terus berhubung dan berbincang dengan semua pemain industri untuk menyediakan rumah berkualiti dan mampu milik untuk rakyat.

Tong berkata beliau meletak harapan yang tinggi terhadap agenda yang dibawa menerusi pengumuman Belanjawan 2023 hari ini dengan peruntukan besar RM372.3 bilion.

“Kami mengalu-alukan langkah menaikkan pengecualian duti setem kepada 75% daripada 50% untuk hartanah kediaman berharga RM500,000 hingga RM1 juta, yang akan tamat pada 31 Disember, 2023.

“Ini akan melengkapkan pengumuman sebelum ini iaitu pengecualian duti setem 100% bagi memorandum pemindahan bagi rumah RM500,000 ke bawah hingga hujung 2025.”

Beliau berkata langkah kerajaan mengenakan hanya RM10 bagi duti setem pemindahan hartanah dalam kalangan ahli keluarga, sangat dihargai.

“Pada masa ini, hanya pemindahan antara suami dan isteri diberikan pengecualian 100% duti setem, sementara antara ibu bapa dan anak adalah 50%.

“Bakal pembeli rumah juga akan mendapat manfaat daripada peruntukan RM3 bilion untuk Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Bhd (SJKP) kepada 12,000 peminjam, yang akan memberi kelegaan kepada mereka yang tidak mempunyai pendapatan tetap, contohnya pekerja industri gig,” katanya. – 7 Oktober, 2022.

Berita penuh di sini.

Iklan
Iklan